comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PAS patut ada suara dalam PN sebab parti besar – Ismail Sabri

Ismail Sabri berucap pada program ‘Walkabout Parlimen Titiwangsa’ di kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2 yang turut dihadiri Johari (kanan), malam tadi. Foto: FB Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PAS sebagai parti besar dan sudah lama ditubuhkan sepatutnya menjadi parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN)

Justeru, katanya PAS patut mempunyai pandangan sendiri dan ada hak bersuara dalam gabungannya, termasuk menentukan kerjasama parti itu dengan parti atau gabungan lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya difahamkan Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak puas hati dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN (Barisan Nasional) jika tidak mendapat majoriti mudah pada PRU-15.

“PAS ini parti besar dan lebih awal daripada Bersatu, sepatutnya dominan dan ada ‘say’ dalam PN,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama penduduk di Perumahan Awam Seri Perlis 2, Keramat di sini malam tadi.

Turut hadir calon BN Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ismail Sabri mengulas kenyataan Takiyuddin yang menyatakan PAS  bersedia untuk bergabung dengan BN sekiranya tidak mendapat majoriti mudah pada PRU-15.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN kemudian dilaporkan berkata PN tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU15.

Sementara itu Ismail Sabri berkata tindakan pimpinan Bersatu yang sering mengkritik pandangan PAS tidak sepatutnya berlaku.

“Jika begitu, PAS perlu memikirkan untuk bergabung dengan parti politik yang lain,” katanya sambil menyatakan bahawa kenyataan Setiausaha Agung PAS itu akan dibincangkan oleh Majlis Tertinggi UMNO sekiranya BN gagal membentuk kerajaan selepas PRU-15 nanti.

Mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa telah ada perbincangan antara pemimpin UMNO dengan PN untuk bekerjasama, Ismail Sabri berkata: “Setahu saya tiada, ia tidak pernah dibincangkan.” – BERNAMA

Loading...
Terkini