comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Pasar malam jadi tumpuan calon kempen malam

Calon (BN Parlimen Tasek Gelugor, Muhamad Yusoff Mohd Noor bertemu peniaga di Pasar Karat Tasek Gelugor, Permatang Berangan malam tadi.

Oleh Selwam Arjunan

TASEK GELUGOR: Calon yang menyelesaikan urusan penamaan calon siang tadi mengambil peluang mendekati rakyat dalam kempen di pasar malam.

Antaranya, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Tasek Gelugor, Muhamad Yusoff Mohd Noor yang melakukan tinjauan mesra ke Pasar Karat Tasek Gelugor, di Permatang Berangan malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua yang terletak dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan diangkat sebagai calon Parlimen pada kali ini.

Beliau yang dikenali dengan panggilan mesra sebagai “Tok Chop” bertemu dengan peniaga yang menjual barangan lama dan terpakai di pasar berkenaan.

Pasar itu mula beroperasi pada jam 8 malam dan berlarutan sehingga tengah malam.

Katanya, ketika tinjauannya mereka memohon kawasan berkenaan dilengkapi laluan berbumbung bagi membolehkan mereka berniaga tanpa keresahan pada waktu hujan.

“Kebanyakan peniaga di sini adalah daripada golongan B40. Mereka pergi kerja pada waktu pagi dan berniaga kecil-kecilan di sini pada waktu malam.”

“Namun perniagaan mereka terbantut pada waktu hujan, jadi mereka minta saya mengusahakan kemudahan bumbung secara tetap di kawasan ini. Saya rasa permintaan itu munasabah dan berjanji akan memberi perhatian kelak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan itu.

Para peniaga juga menaruh harapan agar permintaan yang disuarakan sekian lama itu dapat dipenuhi jika Datuk Yusoff menang kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

“Pemimpin seperti ini kita mahukan, yang turun padang mendengar masalah kita dan bertekad untuk menyelesaikan kalau dia dapat peluang nanti.”

“Kalau masa hujan kami memang tak dapat berniaga langsung, khemah yang ada pun ala kadar sahaja, tak cukup kalau hujan lebat. Kami harap permintaan kami dapat ditunaikan,” kata wakil peniaga, Mohd Zamri Harun.

Selain peniaga, pengunjung pasar juga turut mengambil peluang untuk menegur Datuk Yusoff selepas pencalonan beliau.

Beliau menghadapi saingan lima penjuru berdepan calon Perikatan Nasional, Datuk Wan Saiful Wan Jan, calon PEJUANG, Abdul Halim Sher Jung, calon Pakatan Harapan, Razak Ridzuan dan calon WARISAN, Mohd Akmal Azhar.

Loading...
Terkini