comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Pengundi atas pagar, muda tentukan keabsahan Parlimen – Nurul Izzah

Nurul Izzah bersama penyokong ketika hadir menyerahkan borang penamaan calon bagi PRU-15 di Dewan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara. FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata laluan untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh bukan mudah dengan sebahagian masa depan politiknya terletak pada tangan pengundi muda termasuk golongan berusia 18 tahun.

Menurutnya, biarpun kawasan itu dianggap kubu kuat PKR beliau tidak memandang ringan keupayaan lawan yang menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini berbanding dua penjuru pada PRU14.

“Kita perlu menghormati hasrat mana-mana parti untuk bertanding kerana yang kita fokus bukan tentang organisasi lain tetapi pengukuhan parti kita, apa yang mampu ditawarkan dan merealisasikan perubahan.

“Kita penuh dengan pengharapan kepada pengundi muda mana-mana kerusi sekalipun. Masa depan saya masa depan semua kerusi di Malaysia sebenarnya sebahagiannya terletak dalam tangan pengundi muda.

“Penyokong termasuk pengundi atas pagar juga kita mahu mendapat sokongan mereka kerana itu mengabsahkan usaha kita,” katanya kepada pemberita pada penamaan calon di sini, hari ini.

Nurul Izzah adalah penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas memenanginya dengan majoriti 15,668 undi pada PRU14.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berharap PRU15 dijadikan sebagai platform memilih pemimpin terbaik serta mengajak penyokong menjaga tingkah laku serta disiplin dalam aspek perbuatan dan tindakan bagi mengekalkan keamanan di Permatang Pauh.

“Mudah-mudahan tempoh berkempen ini akan digunakan sebaik mungkin oleh semua penyokong untuk kita tunjukkan kita berada dalam negara maju yang berdepan serta sentiasa bersedia melalui proses demokrasi.

“Pada masa yang sama kita saling menghormati dan kita akur dengan apa jua keputusan dan ketentuan dibuat rakyat demi menjadikan Malaysia lebih stabil dan makmur pada masa akan datang,” katanya.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru termasuk Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang).-HARIAN METRO

Loading...
Terkini