comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Pengundi kena ingat janji pembangkang pada PRU lalu -Mahdzir

Naib Presiden UMNO dan calon BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir ke program Sembang Santai Pemimpin Institusi @ FELCRA Kubang Kenyeng

Oleh Kumaran Rajamoney

KUALA NERANG: Pengundi, terutamanya golongan muda yang baru pertama kali menunaikan tanggungjawab itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diingatkan untuk mengingati janji yang pernah ditabur pembangkang pada PRU lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tawaran yang dibuat pembangkang pada PRU lalu dilakukan secara ekstrem sehingga tidak mampu dilaksanakan sepanjang tempoh 22 bulan memegang tampuk kuasa.

“Mereka menjanjikan untuk menghapuskan hutang PTPTN, tapi tak boleh dilakukan. Begitu juga janji pemansuhan tol lebuhraya, selain menurunkan harga minyak petrol.”

“Mereka memberikan satu manifesto yang tidak ada harapan untuk dilaksanakan. Jadi, pilihlah parti yang memberikan tawaran yang praktikal, dan dapat dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

Barisan Nasional (BN) katanya sentiasa menawarkan manifesto yang menepati keperluan rakyat, seiring kemampuan kerajaan.

Perkara ini katanya dibuktikan dengan pembentangan belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Oktober.

“Kita pastikan semua golongan terlibat dalam tawaran ini. Paling penting, ianya menumpukan kepada soal pendidikan anak-anak serta peluang pekerjaan yang berteraskan kepada revolusi industri 4.0.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sembang Santai Pemimpin Institusi @ FELCRA Kubang Kenyeng, di sini.

Loading...
Terkini