comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Pengundian di Baram hari ini

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Proses pengundian bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.220 Baram, Sarawak yang digantung proses pengundian pada Sabtu lalu disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan akan diadakan hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia membabitkan 19 tempat atau saluran mengundi di 12 pusat mengundi.

“Pusat mengundi yang terlibat adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah (Saluran 1 dan 2), SK Long Luteng (Saluran 2), RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg. Lepo Gah (Saluran 1 dan 2), SK Long Sait (Saluran 2) dan SK Long Tungan (Saluran 1 dan 2),” katanya dalam satu kenyataan.

Turut terlibat, pusat mengundi SK Long Moh (Saluran 1 dan 2), SK Long Mekabar (Saluran 1), SK Long Jekitan (Saluran 1 dan 2), SK Long Lamei (Saluran 2), SK Lio Mato (Saluran 1 dan 2), SK Long Banga (Saluran 1 dan 2) dan RH. TK John Jau Wan Lg. Semiang (Saluran 1).

Datuk Ikmalrudin berkata, semua pusat pengundian dibuka dari jam 7.30 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Bagaimanapun, pusat mengundi di SK Long Naah dan SK Long Moh akan ditutup pada jam 1 tengah hari manakala pusat mengundi di SK Long Luteng ditutup pada jam 2 petang,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, proses pengundian di Parlimen Baram digantung pengundian kerana keadaan cuaca yang tidak baik.

Menurutnya, situasi itu juga menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air.

Parlimen Baram menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang, Datuk Anyi Ngau yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Ronald Enggan (Pakatan Harapan – PH) dan Wilfred Entika Rebai (Bebas). – BULETIN TV3

Loading...
Terkini