comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PH belum ‘buka langkah’, Anwar masih ‘membisu’

SUBANG JAYA 19 NOVEMBER 2022. Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, meninggalkan sidang media di pusat penjumlahan undi PH di Hotel Grand Dorset, Subang Jaya. FOTO : NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

KUALA LUMPUR: Pakatan harapan (PH) dilihat masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan gabungan lain bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Biarpun meraih jumlah kerusi Parlimen tertinggi iaitu sebanyak 82 daripada keseluruhan 219 yang dipertandingkan, PH masih perlu ‘memikat’ ahli Parlimen atau gabungan lain bagi melengkapkan sekurangnya 112 kerusi sebelum Kerajaan baharu dapat dibentuk.

Setakat tinjauan petang ini, tiada perbincangan membabitkan pimpinan tertinggi PH bersama gabungan lain seperti Perikatan Nasional (PN) yang meraih 73 kerusi, Barisan Nasional (BN)-30 kerusi atau Gabungan Parti Sarawak (GPS)-22 kerusi.

Malah, turut dilaporkan tiada sebarang kelibat ahli tertinggi PH di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya yang kebiasaannya menjadi lokasi sidang media mereka.

Pengerusi PH juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan tertinggi PH lain dilihat masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penggabungan itu.

Bagaimanapun, Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Tambun, semalam mengakui PH mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Beliau berkata, PH sudah mencapai persetujuan dan persefahaman dengan beberapa pihak bagi tujuan berkenaan selain menjelaskan pakatan itu mempunyai majoriti melebihi 111 kerusi Parlimen.

Sementara itu, pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediaman beliau dekat Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Ketiga pemimpin terbabit dilihat mengambil langkah awal yang bertujuan ke arah pembentukan Kerajaan Persekutuan berikutan keputusan PRU15 yang menyaksikan Parlimen tergantung.

Terdahulu, PRU-15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, ia berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini