comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PH hilang kerusi DUN Kemayan, borang penamaan ditolak

Calon Pakatan Harapan, Manolan Mohamad (tiga kanan) membuat rayuan selepas borang pencalonannya bagi DUN Kemayan ditolak ketika proses penamaan di Pusat Penamaan Calon P.090 Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera sempena Pilihanraya Umum ke-15. – Foto BH

BERA : Pakatan Harapan (PH) hilang satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berikutan kertas pencalonan calonnya Manolan Mohamad bagi kawasan Kemayan ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Penolakan borang pencalonan Manolan yang juga bekas senator diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera Zaman Azam Mohamat Sarif ketika mengumumkan senarai akhir calon bertanding bagi kerusi DUN berkenaan.

Susulan penolakan itu, DUN Kemayan dalam Parlimen Bera menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Khaizulnizam Mohamad Zuldin dengan Shapuan Hussin (PN), sekali gus menimbulkan kejanggalan berbanding banyak kawasan menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.

Difahamkan, calon Kemayan dari PH beralamat luar Pahang menyebabkan pencalonannya ditolak.

Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli, berkata alamat kad pengenalan Manolan adalah di Shah Alam.

“SPR mensyaratkan calon yang mahu bertanding bagi kerusi DUN perlu bermastautin di dalam negeri di mana seseorang ingin bertanding. Jadinya, SPR menolak borang pencalonannya,” katanya.

DUN Kemayan sebelum ini dimenangi Mohd Fadil Osman dari BN dengan majoriti 4,618 undi.

Manolan, yang juga Orang Asli, bertanding di DUN Kemayan sebanyak dua kali masing-masing pada 2013 dan 2018.

Beliau tewas kepada calon Umno Fadil Osman dengan majoriti 4,618 undi, pada pilihan raya umum 2018. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini