comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PH terus kuasai Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pakatan Harapan (PH) mengukuhkan cengkaman mereka di Pulau Pinang apabila mendominasi tujuh daripada 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setakat jam 12 malam ini.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempertahankan Parlimen Bagan dengan majoriti besar 49,649 undi apabila meraih 55,797 undi.

Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow memenangi Parlimen Batu Kawan manakala Parlimen Bukit Mertajam dimenangi Steven Sim, RSN Rayer (Jelutong), Ram Karpal Singh (Bukit Gelugor), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Muhamad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

PH turut merampas kembali Parlimen Nibong Tebal menerusi calonnya Fadhlina Sidek dengan memperoleh 42,188 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Mansor Othman dan calon Barisan Nasional (BN) serta Bebas.

Keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan PH dilaporkan mengekalkan kemenangan di Parlimen Bukit Bendera menerusi calon baharu, Syerleena Abdul Rashid manakala adik perempuan Guan Eng, Lim Hui Ying menang di Parlimen Tanjong.

Sementara itu, kejutan berlaku di Permatang Pauh apabila penyandangnya, Nurul Izzah Anwar gagal mempertahankan kerusi parlimen itu dalam saingan empat penjuru apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari PAS, Muhammad Fawwaz Mat Jan.

Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan pula memenangi Parlimen Tasek Gelugor dalam saingan lima penjuru, sekali gus mengekalkan penguasaan PN di kerusi itu.

Keputusan di Parlimen Kepala Batas pula belum diumumkan secara rasmi namun berlaku persaingan sengit antara penyandangnya cari BN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan calon PN, Dr Siti Mastura Muhammad. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini