comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PKR akan umum aset semua calon

Dr Wan Azizah (tengah) berarak bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon Parlimen P124 Bandar Tun Razak di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

KUALA LUMPUR: PKR akan mengumumkan secara rasmi aset semua calon mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam waktu terdekat.

Difahamkan pengumuman itu akan dilakukan menerusi sidang media oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata satu sidang media khusus akan diadakan berkaitan pengisytiharaan aset.

“Nanti akan ada sidang media khusus mengenai pengisytiharaan aset (calon-calon PKR pada PRU-15),” katanya.

Beliau ditemui media ketika berkempen di kawasan perniagaan Jalan Sembilan, Taman Tenaga, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pandangan beberapa penganalisis politik bahawa ketelusan PKR untuk mengisytiharkan aset perlu diikuti oleh parti lain, Wan Azizah berkata itulah yang sepatutnya dilakukan untuk pengetahuan umum sebelum pengundian pada 19 November ini.

“Sepatutnyalah…sebab kita nak tahu sebelum (mengundi). Kalau aset itu sudah diisytiharkan jadi mesti sudah ada cop Pesuruhjaya Sumpah. Itu adalah satu pengisytiharaan yang benar.

“Apabila dia (aset) naik mendadak (selepas PRU-15) ada something wrong lah kan (ada sesuatu yang tidak kena),” katanya.

Media melaporkan, aset bersih terkumpul 80 calon ahli Parlimen dari PKR yang disiarkan di laman web ‘calonkeadilan.org’ melebihi RM354 juta.

Antara yang paling banyak mengisytiharkan aset bersih adalah calon Parlimen Tanah Merah iaitu Mohamad Suparadi Md Noor berjumlah RM106.1 juta diikuti calon Parlimen Sungai Buloh iaitu Datuk R Ramanan (RM63.5 juta) dan calon Parlimen Hulu Selangor iaitu Dr Sathia Prakash (RM40 juta).

Berdasarkan semakan mendapati Mohamad Suparadi memiliki aset kira-kira RM100 juta daripada pelaburannya di DNS Capital Sdn Bhd dan iLimo Stalite LTD manakala RM5.3 juta adalah berbentuk hartanah.

Rekod dikemukakan di laman web itu juga mendapati bahawa calon Parlimen Tanah Merah itu pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) dan Pengarah Eksekutif Iris Corp.

Bagi Ramanan pula, aset bersih bernilai RM63.5 juta itu turut merangkumi hartanah bernilai RM27 juta.

Loading...
Terkini