comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PN Perak umum bertanding di 59 kerusi Dun

Setiausaha PN Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin. Foto: NSTP

IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak hari ini mengumumkan akan bertanding di kesemua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha PN Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata Bersatu akan bertanding di 26 kerusi manakala PAS dan Gerakan masing-masing di 24 dan sembilan kerusi.

Beliau berkata Bersatu mengemukakan tiga muka baharu iaitu di DUN Chenderiang, Tualang Sekah dan Chenderoh.

“Calon-Calon (PN) adalah gabungan pelbagai peringkat usia termasuk yang termuda berusia 25 tahun di Chenderoh. Kita cuba menonjolkan calon pelbagai peringkat usia khususnya golongan belia untuk diberi peluang,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon PN Perak di sini hari ini.

Zainol Fadzi berkata kerusi DUN Chenderiang ditandingi Mohd Yunus Mohd Yusop daripada Bersatu menggantikan penyandangnya iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu manakala Tualang Sekah ditandingi Pazli Abdullah Sani, juga calon Bersatu, menggantikan penyandangnya iaitu Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Katanya Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin daripada Bersatu pula akan bertanding di DUN Chenderoh manakala beliau sendiri di DUN Sungai Manik.

Beliau berkata semua calon PN dipilih berdasarkan kemampuan mereka meraih sokongan dan memenangi kerusi yang ditandingi.

Mengenai sasaran PN Perak pada PRU-15, Zainol Fadzi berkata setakat ini tiada sasaran tertentu ditetapkan namun pihaknya akan berusaha memenangi kerusi sebanyak mungkin bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan 30 kerusi diperlukan bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini