comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PN takluk Perlis, menang 14 daripada 15 kerusi DUN

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk Kerajaan Negeri di Perlis apabila memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang media secara berkala di Menara SPR di sini awal pagi tadi.

“Bagi keseluruhan pengundian sehingga jam 2 pagi ini, PN telah memenangi sejumlah 14 daripada 15 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperolehi majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata, peratus pengundian di negeri berkenaan merekodkan 76.94 peratus.

14 kerusi DUN dimenangi PN adalah Titi Tinggi, Chuping, Santan, Pauh, Beseri, Mata Ayer, Bintong, Kayang, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Satu-satunya kerusi yang terlepas daripada penguasaan PN adalah DUN Indera Kayangan yang dimenangi penyandang yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Gan Ay Ling dengan majoriti 1,873 undi.

Ay Ling memperoleh 4,830 undi menewaskan tiga calon lain iaitu calon PN, P. Pramoot; Atan Jasin (Parti Warisan – WARISAN) dan Lim Weng Khee (Barisan Nasional – BN).

Berdasarkan rekod, Perlis dianggap sebagai kubu kuat BN kerana sering dikuasai gabungan itu sejak 65 tahun lalu.

Pada PRU-14, BN mengekalkan penguasaan di negeri itu, apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN iaitu Titi Tinggi, Chuping, Santan, Pauh, Beseri, Mata Ayer, Bintong, Kayang, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Loading...
Terkini