comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PN yakin bentuk kerajaan Sabtu ini – Tuan Ibrahim

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini berdasarkan sokongan yang didakwa semakin meningkat selain mood ditunjukkan rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata di sebalik pelbagai ramalan politik, gabungan itu melihat sokongan semakin jelas khususnya dalam kalangan pengundi muda yang mahukan sebuah kerajaan bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata trend sokongan semakin meningkat itu dijangka lebih menyerlah pada hari-hari terakhir kempen.

Sehubungan itu beliau berkata tidak timbul soal gabungan politik buat masa ini dan apa dinyatakan Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hanyalah pilihan sedia ada dan telah sedia diulas oleh pelbagai pihak.

“Namun bagi PN, usaha berterusan bagi membentuk kerajaan PN yang dipilih oleh majoriti rakyat mesti ditingkatkan.

“Rakyat dan penjawat awam telah serik di bawah Pakatan Harapan selama 22 bulan, dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lampau.

“Demikian juga dengan BN dengan pelbagai kemelut kluster mahkamah, terpalit dengan salah laku di kalangan sebahagian pimpinan menyebabkan rakyat hanya punyai satu pilihan, iaiatu kerajaan PN.

“Saya yakin kita mampu lakukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak malam tadi, Takiyuddin mengeluarkan tiga kenyataan berkaitan penggabungan PN dan BN pasca PRU-15.

Menerusi kenyataan terbaharu, Takiyuddin menegaskan PAS berkeyakinan penuh PN dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada gabungan itu.

Beliau dilaporkan berkata pihaknya percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini