comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Polis Putrajaya laksana sistem penjadualan keluar undi awal

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian pada undi awal sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Polis Putrajaya melaksanakan sistem penjadualan dengan menetapkan masa untuk pegawai dan anggota keluar mengundi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata, langkah itu juga bagi memastikan semua pengundi dapat melunaskan tanggungjawab mereka.

“Untuk mengelak kesesakan, kita bahagi mereka mengikut bahagian. Sebagai contoh dari jam 8 pagi, bahagian mana akan keluar mengundi dan seterusnya, sebab kita risau dari segi pergaulan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pagi tadi.

Seramai 1,386 pengundi awal membuang undi bagi Parlimen Putrajaya membabitkan 746 orang polis dan pasangan bagi polis Pasukan Gerakan Am (PGA), serta 640 anggota tentera dan pasangan.

Selain IPD Putrajaya, satu lagi pusat pengundian dibuka iaitu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).

ACP A.Asmadi berkata, perjalanan proses undi di IPD Putrajaya berjalan lancar sejak pusat mengundi itu dibuka jam 8 pagi, sambil menambah terdapat seorang anggotanya yang akan mengundi awal disahkan dijangkiti COVID-19.

“(Anggota itu) telah diarahkan untuk mengundi pada sebelah petang untuk mengelak dia bercampur dengan pengundi lain bagi mengurangkan risiko terhadap pegawai dan kakitangan lain,” katanya.

Pada perkembangan lain, beliau berkata, tiga laporan polis diterima setakat ini sepanjang kempen PRU-15.

“Satu daripada laporan polis adalah kes khianat yang mana kertas siasatan telah dibuka dan siasatan segenap sudut sedang dilaksanakan. Laporan lain antaranya membabitkan pemasangan bendera sebelum tempoh berkempen.

“Kita sentiasa memantau keadaan ini kerana di saat-saat akhir macam-macam boleh berlaku, keghairahan sesuatu pihak untuk menakluki hati pengundi. Tetapi bagi saya, di Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kita mengharapkan proses pilihan raya berjalan lancar supaya kita dapat terus menjalankan kehidupan seharian,” katanya.

Loading...
Terkini