comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Polis siasat calon Bebas hulur wang

Tangkap layar di media sosial yang tular.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak membuka kertas siasatan berhubung pemberian sumbangan wang tunai oleh seorang calon Bebas di Parlimen Santubong.

Jurucakap IPK Sarawak, Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata ia susulan laporan yang diterima setelah perkara itu tular di Facebook.

“Kes dikesan di kawasan Lundu iaitu berkaitan kesalahan penyogokan.

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998/ Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954iaitu menerima sumbangan berupa wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam satu hantaran yang tular di Facebook hari ini, seorang peniaga jalanan menyatakan terima kasih kepada seorang calon Bebas yang juga ahli perniagaan di atas sumbangan yang diberikan.

Hantaran itu turut memaparkan gambar beberapa keping wang tunai RM50 yang diletakkan dalam satu sampul.

Sementara, Douglas berkata dua lagi kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri papan iklan sebuah parti politik.

“Dua papan iklan milik sebuah parti politik yang dipasang di kawasan Tebedu dan Serian telah hilang dan disyaki dicabut serta dilarikan oleh orang yang tidak dikenali,” katanya.

Justeru, katanya IPK Sarawak menasihatkan parti politik yang bertanding supaya mengingatkan penyokong masing-masing supaya tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Loading...
Terkini