comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Politik negara stabil, BN sedia bergabung – Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan calon P075 Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersedia untuk melaksanakan apa sahaja kaedah yang matang termasuk bergabung dengan parti lain bagi mewujudkan sebuah negara yang mempunyai kestabilan politik.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, berkata keutamaan ketika ini adalah untuk mengelakkan rakyat menjadi mangsa dan negara tidak mempunyai seorang Perdana Menteri yang kurang sepenggal.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah bergabung itu masih terlalu awal untuk dibincangkan kerana beliau sendiri yakin bahawa BN mampu mendapatkan majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Setiap pemimpin pasti mempunyai keyakinan bahawa parti mereka akan membentuk kerajaan dan saya tidak perlu sebut kaedah-kaedah yang akan kita gunakan. InsyaAllah kita akan menjadi kerajaan yang dominan dan mutlak dalam PRU15 ini.

“(Gabungan parti) adalah terlalu awal untuk dibincangkan, tetapi itulah kita bersedia untuk lakukan apa sahaja asalkan kita wujudkan negara yang stabil politiknya dan kita tidak mahu tiga ke empat Perdana Menteri dalam satu penggal dan rakyat menjadi mangsa, maka kaedah-kaedah itu dilakukan dengan cukup matang,” katanya dalam temubual khas yang disiarkan di sesi Podcast BH, bertajuk ‘Faktor Wow’ Calon PRU15, malam ini.

Program Podcast BH itu dikendalikan wartawan BH, Ahmad Suhael Adnan bersama Suzalina Halid manakala panel jemputan adalah Pensyarah Kanan, Pusat Latihan Intern & Pengayaan Akademik (CITrA), Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis.

Ditanya mengenai parti yang berpotensi untuk bergabung, Ahmad Zahid berkata, BN akan menerima parti yang mempunyai ciri tidak cauvinis dan bersifat terbuka agar agenda negara mampu diterjemahkan kepada rakyat.

“Rakyat dalam satu penggal ini sudah sengsara dan memerlukan kerajaan yang stabil, yang boleh memberi peluang pekerjaaan, ‘food on the table’, duit dalam poket dan ini yang rakyat mahu,” katanya.

Beliau juga turut menyatakan keyakinan BN pada PRU-15 meskipun rakyat hari ini mempunyai banyak pilihan parti untuk mengundi.

“Ketika ini kita mempunyai enam gabungan parti dan pengundi mempunyai banyak pilihan untuk diberikan kepercayaan tetapi, BN juga mempunyai pengalaman memimpin negara selama 62 tahun dan tidak dilupakan satu parti yang diberikan peluang 22 bulan (memimpin), jelas tidak dapat menunaikan janji, walaupun pemimpinnya sangat berpengalaman dan pernah memerintah 22 tahun.

“Kerajaan sekarang ini juga dipimpin oleh BN maka sudah tentunya kita mahu beri kesinambungan ‘track rekod’ yang bertulang belakangkan UMNO untuk mewujudkan kemakmuran di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan menjadi panduan kemenangan pilihan raya tetapi tidak boleh dijadikan satu ‘template’ untuk memperoleh kemenangan.

“Pada hemat saya, tiga PRN iaitu di Sabah, Melaka dan Johor bukan sekadar memperlihatkan BH diterima semula tetapi kestabilan yang dimahukan rakyat.

“Buktinya pelaburan asing di Johor menyebabkan negeri itu berada di tempat pertama berbanding tangga keenam ketika dua kerajaan sebelum itu. Malah pelaburan dalam Melaka antara yang tertinggi walaupun negeri itu tidak mempunyai sumber asli,” katanya.

Loading...
Terkini