comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Poster Jamil Khir disimbah cat 

Poster Calon BN Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di tepi jalan Simpang Empat Pulau Bunting disimbah cat hitam oleh pihak tidak bertanggungjawab

YAN: Lagi perbuatan khianat merosakkan bahan kempen calon bertanding.

Terbaru polis menerima laporan kejadian poster Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di tepi jalan simpang empat Jalan Pulau Bunting di sini, disimbah cat hitam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata pihaknya menerima laporan dibuat Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerai yang menyedari kejadian itu selepas menerima aduan daripada pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 12.35 tengah malam.

“Poster itu terletak di simpang empat Jalan Pulau Bunting dan perbuatan itu didakwa dilakukan bagi memburukkan parti berkenaan.

“Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, setakat ini tiada saksi kejadian itu, malah lokasi kejadian berlaku di tepi jalan yang sunyi dan gelap.

“Tiada juga kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di sepanjang jalan terbabit dan sekitar tempat kejadian adalah kawasan sawah padi.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati tiada penduduk kampung yang tinggal di kawasan tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini