comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Prestasi Warisan merosot, hanya menang tiga kerusi

Shafie Apdal. – Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Hasrat Parti Warisan (Warisan) untuk menguasai sebahagian besar daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, selain satu di Labuan dan 26 kerusi lagi di Semenanjung tidak kesampaian apabila hanya memenangi tiga kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.

Tiga kerusi terbabit ialah Semporna yang dipertahankan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerusi Parlimen Lahad Datu yang dimenangi adiknya, Datuk Mohd Yusof Apdal dan kerusi Parlimen Kota Belud yang dipertahankan Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.

Keputusan PRU-15 semalam menyaksikan Warisan kehilangan empat kerusi iaitu Penampang, Sepanggar, Papar, dan Kalabakan, selain gagal memenangi semula kerusi Parlimen Batu Sapi yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, mendiang Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober 2020.

Ketika PRU-14 pada 2018, Warisan memenangi lapan kerusi Parlimen di Sabah iaitu Semporna, Lahad Datu, Kalabakan, Papar, Penampang, Sepanggar, Kota Belud dan Batu Sapi.

Kerusi Parlimen parti itu kemudiannya bertambah kepada sembilan selepas PRU-14 berikutan penyertaan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli ke dalam parti itu, namun Rozman turut gagal mempertahankan kerusi berkenaan apabila tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaili Abdul Rahman pada PRU-15, semalam.

Bukan setakat itu, keputusan PRU-15 semalam turut menyaksikan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking gagal mempertahankan kerusi Parlimen Penampang apabila tewas di tangan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ewon Benedick dengan majoriti 14,410 undi.

Darell memenangi kerusi Penampang kali pertama pada 2013 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan menewaskan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) pada masa itu, Tan Sri Bernard Dompok dan mengekalkan kemenangan atas tiket Warisan pada 2018 dengan majoriti lebih 23,000 undi.

Turut tewas semalam ialah Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar apabila tewas dengan majoriti 7,042 undi di tangan calon PH, Mustapha Sakmud.

Pada PRU-14, Azis memenangi kerusi berkenaan dengan lebih 12,000 undi majoriti menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini