comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Radzi Jidin Sah Calon PN Untuk Kerusi Putrajaya

Pengumuman dibuat pada Program Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seperti diramal, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Radzi Jidin diangkat sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Parlimen Putrajaya bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam program Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya, di sini malam ini.

“Calon yang kita nak letakkan di Putrajaya tidak lain dan tidak bukan Datuk Dr Radzi Jidin. Jangan nak ragu-ragu. Ini calon kita.

“Saya umumkan awal-awal lagi dan selepas ini kita nak minta dia buat kerja. Malam ni sahih bukan uar-uar atau khabar-khabar tapi sahih diumumkan Pengerusi PN,” katanya.

Menteri Kanan Pendidikan merangkap Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Putrajaya itu dijangka berdepan penyandang selama empat penggal berturut-turut di Parlimen itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari Barisan Nasional (BN) meskipun belum ada pengumuman rasmi dari BN.

Tan Sri Muhyiddin turut menasihatkan Datuk Seri Tengku Adnan atau dikenali Ku Nan supaya berundur pada PRU-15.

“Saya tak tahu siapa nak lawan, lawanlah.
Tapi saya nak beri nasihat sikit kepada kawan saya Ku Nan. Ku Nan telah melakukan sesuatu kepada Putrajaya tetapi cukuplah Ku Nan. Sekarang masa untuk perubahan dan perubahan itu akan berlaku dengan PN di bawah Datuk Dr Radzi.

“Kalau masuk dalam peti undi, baca nama dia, (saya tahu) pengundi Putrajaya semua cerdik pandai, takkan tak pandai baca nama Datuk Dr Radzi atau tengok simbol PN. Pangkah situ. Jangan pangkah tempat lain, (jadi) salah, haram duniawi hukumnya,” katanya.

Pada PRU-14, Datuk Seri Tengku Adnan yang juga Bendahari UMNO mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Datuk Dr Radzi yang bertanding menggunakan logo PKR pada PRU-14 bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun kalah kepada Tan Sri Annuar Musa. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018.

PN dianggotai BERSATU, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Loading...
Terkini