comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Rakyat bijak tentukan kaca atau permata – Khairuddin

Foto: NSTP – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (tiga kanan) beramah mesra bersama penduduk semasa program Walkabout di Pasar Malam Serdang

KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yakin pengundi bijak memilih antara ‘kaca dan permata’ untuk diangkat sebagai pemimpin.

Beliau berkata, selepas memasuki hari kelima berkempen dan turun padang, penerimaan daripada masyarakat begitu positif walaupun baju yang dipakainya kini sudah berubah daripada hijau kepada biru.

Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu yakin rakyat akan memilih BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memandangkan parti tertua dalam negara itu lebih berpengalaman selain mengamalkan konsep Keluarga Malaysia.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang sebelum ini menyatakan orang PAS sudah ditarbiah sejak dahulu lagi iaitu mereka setia kepada parti dan bukannya memilih berdasarkan calon.

Mohd Khairuddin berkata di Terengganu memilih parti adalah nombor satu berbanding calon, tapi masing-masing ada unit teras tersendiri antara UMNO dan PAS.

“Berdasarkan rekod dalam dua PRU yang lalu, kita melihat penyokong tegar BN melebihi penyokong tegar PAS di Kuala Nerus, jadi kini bergantung kepada situasi semasa siapa calon yang ditampilkan? Apa isu yang timbul? Apa jasa yang dibuat serta apa idea yang dibawa?

“Justeru seseorang calon perlu mempunyai idea yang bernas untuk rakyat, Insya-Allah saya yakin rakyat akan memberikan undi kepada BN pada kali ini.

“Ini berdasarkan beberapa faktor termasuk gelombang kemarahan kepada Pakatan Harapan (PH), rakyat memerlukan pemimpin yang mempunyai akhlak dan mengambil cakna serta prihatin kepada mereka, ini sudah ditampilkan BN dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui selepas program ziarah di Pasar Minggu Serdang, petang semalam.

Ketika ditanya hala tujunya jika diberikan mandat oleh pengundi, beliau yang memiliki PhD Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan akan memperkasakan lagi kebajikan rakyat.

“Memperkasakan lagi kebajikan rakyat itu fokus saya, tambahan pula BN adalah sebuah parti yang kuat, jadi saya tidak gentar kepada mana-mana calon termasuk PAS.

“Lagipun PRU bukan bersaing untuk bertumbuk, berperang di medan perang menggunakan senjata, tapi bersaing idea untuk berkhidmat yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Mohd Khairuddin menerima tentangan empat penjuru daripada calon PAS, Datuk Dr Alias Razak, Datuk Seri Suhaimi Hashim daripada Pakatan Harapan Azaha Wahid daripada PEJUANG.

Mohd Khairuddin sebelum ini bertanding atas tiket PAS menjadi ahli Parlimen Kuala Nerus selepas memenangi kerusi itu pada PRU13.

Ketokohannya kian terserlah selepas berjaya mengekalkan kerusi berkenaan dalam PRU14 pada 2018 dengan majoriti 8,447 undi selepas menewaskan calon UMNO dan PKR.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin membuat permohonan untuk berhenti daripada menjadi ahli PAS berkuat kuasa serta-merta pada Mac tahun ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini