comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Rani Kulup bukan ‘suka-suka’ nak bertanding

Rani Kulup yang juga calon bebas Parlimen Port Dickson menunjukkan logo pen sebagai simbol atas kertas undi PRU-15.

PORT DICKSON: Aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah menegaskan bahawa dirinya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukanlah sekadar suka-suka.

Sebaliknya beliau yang juga bekas tentera berharap diberi peluang berkhidmat untuk membantu masyarakat, terutama Parlimen Port Dickson yang ditandinginya terkenal dengan Bandar Tentera Darat.

“Ayah mahu bertanding dan mahu menang, bukan suka-suka masuk bertanding atau ada terima sponsor (tajaan) mana-mana pihak sama ada syarikat atau orang perseorangan.

“Saya bekas tentera yang sudah bersara sejak lebih 20 tahun lalu. Berilah ayah peluang untuk menang dan dapat berkhidmat membantu masyarakat terutama warga tentera atau bekas tentera di kawasan yang terkenal sebagai Bandar Tentera Darat,” katanya yang menggelarkan dirinya ‘ayah’ setiap kali berbual.

Abdul Rani, 67, menafikan dirinya mendapat tajaan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun beliau pada masa sama, mengalu-alukan sesiapa yang mahu menajanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia bercadang bertanding atas nama parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) tetapi parti itu belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Katanya, dia menggunakan logo ‘pen’ kerana pen adalah benda penting yang sering dibawanya setiap kali dia keluar rumah.

“Semua orang tahu identiti ayah, beret, tongkat dan pen. Tiga benda ini amat penting bagi ayah dan juga kerana mata pena lebih tajam dari mata pedang.

“Lagi satu sejak dahulu lagi ayah suka bantu orang dan kini ayah perlu berada di Parlimen supaya lebih mudah membawa isu rakyat tanpa perlu menggunakan orang lain,” ujarnya.

Abdul Rani berkata, sejak dahulu lagi, dia selesa bergerak dan aktif, malah tidak menafikan agak ‘popular’ di media sosial.

“Ayah jarang sakit, kalau rasa tak sihat pun sekejap sahaja, mungkin kerana selalu bantu orang, kesihatan badan jarang terjejas,” katanya.

Abdul Rani berdepan saingan sengit daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH); Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha (Perikatan Nasional); pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri (Gerakan Tanah Air) dan P Kalamanathan (Barisan Nasional).

Loading...
Terkini