comscore
Tumpuan :
Politik

 [VIDEO] PRU-15: Ronald Kiandee sah digugurkan, bakal bertanding bebas?

 

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian Industri dan Makanan yang juga naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Ronald Kiandee digugurkan manakala bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedick Asmat dinamakan sebagai calon bagi Parlimen P.183 Beluran.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan malam tadi.

Keputusan itu menjawab persoalan nasib Ronald Kiandee yang juga penyandang kerusi Parlimen itu selepas nama beliau dan kerusi yang disandangnya tidak diumum pada majlis pengumuman senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN, Rabu lalu.

“Benedict Asmat adalah anak jati Parlimen Beluran dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Antropologi dan Sosiologi (Kepujian) daripada Universiti Malaya (UM).

“Beliau merupakan mantan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beluran selama 20 tahun sebelum dilantik menjawat beberapa jawatan penting kerajaan seperti Pegawai Daerah Semporna, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah’ katanya.

Beliau turut berpengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam dan aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan kini merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (Safa).

Datuk Seri Bung juga memaklumkan pertukaran calon BN bagi kawasan Parlimen P.191 Kalabakan kepada penyandang Ahli Dewan Undangan negeri (DUN) kawasan Tanjung Batu, Andy Muhammad Suryady Bandy.

Calon Parlimen kawasan itu yang diumumkan sebelum ini, adalah Aslin Fadli Bin Samsul Alang.

Bung Moktar berkata, Andi Muhammad Suryady merupakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan dalam kabinet Sabah pada Oktober 2020.

“Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah bertugas sebagai jurutera di beberapa syarikat kejuruteraan terkemuka negara sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan selain pernah dilantik sebagai Bendahari Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia Sabah.

Bung Moktar yakin kedua-dua calon yang berlatarkan pendidikan tinggi, berkelayakan profesional serta bersedia berkhidmat mampu menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak.

Loading...
Terkini