comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Saingan terbanyak, 2 calon bebas dalam sejarah rebut kerusi Putrajaya

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bilangan calon bertanding untuk merebut kerusi Parlimen P.125 Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah yang terbanyak dalam sejarah sejak kerusi itu mula dipertandingkan pada 18 tahun lalu.

Berdasarkan rekod empat kali pilihan raya lalu membabitkan kerusi berkenaan, lazimnya saingan sama ada satu lawan satu atau tiga penjuru.

Bagaimanapun, pada PRU-15, enam calon daripada pelbagai parti disahkan bertanding setelah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar pada jam 10.48 pagi.

Parlimen Putrajaya bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan penyandang kerusi dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 72 dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin, 45.

Saingan turut diberikan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, 47, selain Datuk Mohd Rosli Ramli, 64 dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Buat julung kalinya juga, bukan seorang tetapi dua calon bebas merebut satu-satunya kerusi di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu Samsudin Mohamad Fauzi, 46 dan Lim Fice Bee, 44.

Terdahulu, keenam-enam calon mengemukakan borang pencalonan mereka di Pusat Penamaan Calon di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9 sehingga tempoh penamaan calon ditutup jam 10 pagi tadi.

Datuk Seri Tengku Adnan menjadi calon pertama mengemukakan borang berkenaan ketika tempoh penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi.

Beliau yang tiba pada jam 8.25 pagi, berarak bersama kira-kira 500 penyokongnya sambil berselawat menuju ke Pusat Penamaan Calon.

Ia kemudian diikuti Datuk Dr Radzi mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.03 pagi dan Samsudin pada jam 9.05 pagi.

Manakala Fice Bee pada jam 9.08 pagi, Dr Noraishah Mydin jam 9.10 pagi dan borang pencalonan terakhir diserahkan Datuk Mohd Rosli pada jam 9.14 pagi.

Untuk rekod, pilihan raya pertama membabitkan kerusi Parlimen Putrajaya pada 2004 menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Datuk Seri Tengku Adnan dengan calon PKR, Abdul Rahman Othman.

Datuk Seri Tengku Adnan atau mesra dipanggil KuNan menang mudah dengan majoriti 3,546 undi selepas meraih 4,086 undi berbanding 540 undi diraih pencabar.

Pada 2008, Ku Nan mengekalkan dominasi apabila memperoleh kemenangan majoriti 2,734 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.

Momentum kemenangan diteruskan pada 2013 apabila beliau menang bergaya mengetepikan calon PAS, Datuk Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi, iaitu yang terbesar buat rekod peribadinya.

Pada PRU-14, Bendahari UMNO itu berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya buat penggal keempat berturut-turut apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang digunakan untuk PRU-15, seramai 42,881 pemilih berdaftar di Putrajaya berbanding 27,306 pemilih pada PRU-14.

Sebanyak 12 pusat mengundi dengan lebih 60 saluran akan disediakan bagi pilihan raya kali ini membabitkan lebih 500 petugas. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini