comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Saya nak bersihkan UMNO – Khairy

SUNGAI BULOH: Khairy Jamaluddin secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO dan mahu ‘membersihkan’ parti itu, jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau antara lain mengakui ada percaturan lebih besar selepas berjaya menawan Sungai Buloh, iaitu membawa perubahan kepada negara, UMNO dan Barisan Nasional (BN), supaya masyarakat Melayu mempunyai wadah politik yang boleh dibanggakan dan terbesar di Malaysia.

“Saya tak mahu berhenti di Sungai Buloh semata-mata kerana bertanding di sini cabaran terbesar dalam kerjaya politik saya. Nak menang di sini bukan mudah, tetapi kalau saya menang, saya nak bawa kita semua, bukan sekarang tetapi mungkin lima atau 10 tahun akan datang untuk menerajui pimpinan negara.

“Saya juga mahu bawa perubahan kepada parti saya (UMNO) dan mahu UMNO dilihat semula sebagai wadah mulia untuk masyarakat Melayu. Sekarang ini ramai jumpa dan maklumkan saya, bukan mereka tak suka UMNO tetapi kurang berkenan dengan beberapa (individu) dalam UMNO.

“Media janganlah pula lagakan saya dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tetapi ini kenyataan dan realitinya. Saya dan rakan lain mahu kembalikan UMNO sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Silaturrahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (PERAKAM) di Kelab Rahman Putra di sini, malam ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini