comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Saya sudah cuba terbaik – Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: “Saya sudah mencuba yang terbaik tetapi tidak cukup (baik),” luah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkongsi perasaannya itu menerusi hantaran kapsyen pada gambarnya memakai baju T dan duduk di atas kerusi di Instagram (IG), hari ini.

Menerusi hantaran itu, Khairy berkata bahawa sebuah kekalahan tetap satu kekalahan walaupun dekat (dengan kemenangan) atau berapa ramai yang meluahkan kekecewaan (kerana kekalahan).

“Salah satu perkara yang paling menyedihkan apabila ahli politik dinilai secara terbuka setiap lima tahun.

“Pilihan Raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi tetapi juga petunjuk kepada ahli politik sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya. Jika orang suka mereka atau tidak.

“Itu adalah peraturannya yang perlu diterima apabila orang berfikir anda tidak cukup baik untuk mereka.

“Adakah ini pengakhirannya? Saya pasti tidak namun mahu merenung perkara ini sebelum memikirkan apa yang akan lakukan seterusnya,” tulisnya

Khairy mengakui dia sebenarnya letih kerana tidak mempunyai masa untuk berehat sejak diminta menggalas tanggungjawab menguruskan wabak COVID-19.

“Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada COVID-19 tetapi ia adalah satu keistimewaan yang besar untuk berkhidmat pada masa yang kritikal.

“Saya gembira Malaysia sudah pulih lebih banyak daripada negara yang lain,” katanya.

Dalam hantaran sama, Khairy turut menyatakan harapannya untuk parti atau calon dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat dengan penuh semangat dan bertanggungjawab kerana negara memerlukan kestabilan serta kepimpinan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

“Saya doakan yang terbaik untuk anda semua. Saya menantikan (untuk menonton) Piala Dunia di televisyen,” tulisnya.

Setakat ini, hantaran Khairy mendapat hampir 140,000 tanda suka dan komen berbaur kata semangat termasuk daripada penyanyi dan pelakon, Alif Satar, bekas pesilat negara, Al Jufferi Jamari dan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat.

Menurut rekod, Khairy adalah penyandang Parlimen Rembau untuk tiga penggal sebelum ditempatkan di kerusi Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.

Bagaimanapun, Khairy tewas kepada Datuk R. Ramanan yang meraih kemenangan sekali gus mempertahankan kerusi Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh.

R. Ramanan menang di kerusi itu dengan 50,943 undi, manakala Khairy (48,250 undi) menjadikan majoriti 2,693 undi.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini