comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: ‘Saya tak pernah henti berkhidmat walau bukan wakil rakyat’

Johari (tengah) tiba di hadapan pintu masuk Pusat Penamaan Calon Parlimen Titiwangsa PRU15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki.

KUALA LUMPUR: “Saya tak pernah berhenti berkhidmat di Titiwangsa walaupun bukan wakil rakyat.”

Itu penegasan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi Parlimen Titiwangsa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II yakin rekod perkhidmatannya di Titiwangsa yang berterusan sejak lebih 10 tahun lalu, termasuk ketika tidak lagi menjadi wakil rakyat, mampu memastikan beliau menang pada 19 November nanti.

“Bagi saya tiada beza antara pilihan raya lalu dengan pilihan raya kali ini. Saya tak pernah berhenti berkhidmat di kawasan ini walaupun saya bukan wakil rakyat selama empat tahun enam bulan.

“Saya terus bekerja dan adakan libat urus dengan masyarakat melalui Yayasan Bena Nusa.

“Yang membezakan hanyalah jika menang, saya boleh menyumbang pada skala lebih besar dengan menggunakan pengalaman saya kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau disahkan sebagai seorang daripada empat calon merebut kerusi Parlimen Titiwangsa. Johari berdepan cabaran calon PH yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad; calon Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam dan calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mengulas mengenai cabarannya bertemu Khalid yang dilihat sebagai calon ‘heavyweight’, Johari berpandangan sesiapa saja boleh menawarkan khidmat kepada rakyat, namun rekod perkhidmatan bakal menjadi penentu untuk rakyat membuat pilihan.

Katanya, pilihan calon yang ramai juga menjadikan tiada mana-mana pihak yang boleh memaksa pengundi memilih mereka, sebaliknya perlu menawarkan khidmat terbaik untuk meyakinkan pengundi.

“Yang penting pengundi perlulah jalankan sedikit penyiasatan untuk mengetahui rekod perkhidmatan dan latar belakang setiap calon.

“Kita perlu faham, kita dalam proses memilih wakil rakyat, bukan pilih menteri. Jadi rakyat kena tahu bila nak pilih,” katanya.

Dalam PRU14, kerusi Parlimen Titiwangsa dimenangi oleh Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun yang ketika itu mewakili PH dengan majoriti 4,139 undi, menewaskan Johari dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.

Untuk PRU15, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ‘melarikan diri’ dari Parlimen Titiwangsa untuk bertanding di Parlimen Sepang mewakili PN.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini