comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Sebahagian intipati Bajet 2023 jadi manifesto BN – Ismail Sabri

BERA: Perdana Menteri  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebahagian intipati Bajet 2023 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu, akan menjadi manifesto Barisan Nasional (BN) kerana ia adalah belanjawan yang menyeluruh dan berpijak di bumi nyata.

Intipati bajet terbesar yang pernah disediakan dengan peruntukan RM372.3 bilion itu juga jelasnya, mencakupi semua pihak dan kerajaan mempunyai peruntukan mencukupi untuk melaksanakannya.

Menurut beliau intipati bajet yang baik  menyebabkan ada pihak mahu meniru belanjawan terbabit.

“Kita telah mengumumkan (bajet) lebih awal…Tan Sri Muhyiddin komen macam-macam tentang kerajaan tapi apabila kita bentang bajet yang baik maka dia juga ingin menciplak (meniru) bajet yang dibentangkan kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan saya,”

“Saya bersama Menteri Kewangan menjadi arkitek untuk Bajet 2023 dan berpijak di bumi nyata.

“Manifesto BN bukan seperti Pakatan Harapan (PH) yang dibuat semata-mata mahukan undi tetapi kita (BN) yakin ini bajet yang dapat ditunaikan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kenduri Kampung Bersama Komuniti Felda Sebertak di Dewan Orang Ramai Felda Sebertak di sini hari ini.

Turut hadir calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai Khairulnizam Mohamad Zuldin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan memberi jaminan semua inisiatif Bajet 2023 termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksana serta ditambah baik, ketika mengumumkan manifesto PN semalam.

Dalam perkembangan lain, kata Ismail Sabri, pemberian moratorium khas bukan penyelesaian jangka panjang kerana peniaga masih perlu membayar pinjaman.

Sebaliknya pemberian bantuan dan geran khas kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah lebih baik berbanding moratorium khas.

Disebabkan itu kerajaan pimpinannya memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada PMKS termasuk geran berjumlah RM1 bilion membantu meringankan beban mereka.

“Saya nafikan (menolak cadangan moratorium khas) kerana perkara itu bukan menyelesaikan masalah secara menyeluruh kerana pinjaman masih perlu dibayar.

“Menerusi Bajet 2023, kerajaan perkenalkan pelbagai inisiatif seperti geran percuma, dana dan pinjaman kepada PMKS yang boleh dijadikan modal dan menambah baik perniagaan.

“Saya tidak pernah menolak (moratorium khas) tetapi menambah baik dan perkenalkan pelbagai bantuan dana untuk PMKS,” jelasnya.

Tan Sri Muhyiddin dilapor berkata, kerajaan Ismail Sabri sebelum ini menolak pelaksanaan moratorium khas untuk sektor PMKS. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini