comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: Sebar infografik Kabinet perpaduan tindakan terdesak, bodoh

PONTIAN: UMNO menafikan terdapat perbincangan bersama gabungan parti lain membabitkan pengagihan jawatan Kabinet seperti yang tular di media sosial, sejak semalam.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyifatkan penyebaran infografik Kabinet Perpaduan Malaysia 2022 yang dianggotai pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu adalah tindakan terdesak pihak tidak bertanggungjawab yang kecewa dengan hidup mereka.

“Itu (Kabinet Perpaduan) adalah carta ‘mamat tepi jalan’. Lepas ini akan ada banyak lagi carta dan infografik dikeluarkan termasuk Kabinet bayangan, Kabinet bunian serta Kabinet caca marba. Itu semua kerja yang langsung tak berfaedah, kerja bodoh.

“Apa yang pasti, tiada langsung sebarang perbincangan untuk Kabinet seperti infografik tular itu.

“Kita berharap supaya jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) ketepikan segala carta dan infografik merapu seperti itu.

“Ini termasuk carta dan infografik kononnya pelbagai agensi menyatakan PH mendahului dan BN terkebelakang. Itu semua carta dan infografik palsu,” katanya selepas konvoi anak muda Barisan Nasional (BN) di Kampung Lubok Sipat, di sini, hari ini.

Semalam, infografik bertajuk Kabinet Perpaduan Malaysia 2022 tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai perdebatan dalam kalangan netizen.

Infografik itu memaparkan Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tiga pemimpin lain iaitu Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pula disenaraikan sebagai tiga Timbalan Perdana Menteri Kabinet berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga calon BN bagi Parlimen Pontian meminta jentera Umno dan BN supaya terus fokus dan tidak mengendahkan taktik lawan yang mahu melemahkan semangat mereka.

“Kita lupakan dulu gangguan-gangguan serta serangan yang dihalakan kepada parti untuk melemahkan semangat jentera.

“Paling penting untuk jentera terus fokus memujuk pengundi mengundi BN sehinggalah hari mengundi nanti,” katanya.- HARIAN METRO

Loading...
Terkini