comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: “Sedia lawan adik – abang” – Amiruddin

Amirudin beramah mesra dengan orang ramai selepas menunaikan solat asar berjemaah bersama kariah Surau Darul Hidayah, Pinggiran Batu Caves Gombak. Foto Amirudin Shaari/Facebook

GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari, memaklumkan beliau bersedia bertembung dengan mana-mana individu termasuk calon bebas, Azwan Ali, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden PKR yang juga calon Parlimen Gombak itu, berkata negara mengamalkan sistem demokratik dan sesiapa yang rasa layak bertanding, boleh berbuat demikian.

“Menariklah, saya lawan sekali adik dengan abang.

“Masing-masing ada hak, tapi yang penting apa kita tawarkan, apa yang ingin kita kemukakan dan apa rekod kita,” katanya ketika ditemui media selepas majlis minum petang bersama jemaah Surau Darul Hidayah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengesahkan bertanding atas tiket calon Bebas kerusi Parlimen Gombak pada PPRU15.

Azwan juga bakal berdepan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini dilaporkan sedia mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

Sementara itu, Amirudin ketika majlis kenduri rakyat bersama penduduk Kampung Wira Damai, berkata beliau bercadang untuk membangunkan Kompleks Islam Wira Damai An Nur.

Katanya pembinaan kompleks itu akan menyelesaikan masalah kemudahan di sekitar kawasan Masjid An Nur sedia ada, antaranya tempat meletak kenderaan bagi jemaah.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada nadzir Masjid Wira Damai An-nur, Wan Jabarudin Wan Hassan.

Amirudin kemudian berjumpa dengan 150 wakil penduduk Gombak Permai bagi menyelesaikan masalah pengeluaran hak milik strata membabitkan 2,000 unit rumah kos rendah dan sederhana di kawasan itu.

Loading...
Terkini