comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: Selesai masalah pengundi, tumpuan calon Langkawi

 

 

Oleh Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Membantu masyarakat setempat menyelesaikan masalah yang dihadapi pengundi menjadi fokus calon yang bertanding di Parlimen Langkawi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Hari pertama kempen, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arminshah Siraj menggunakan pendekatan program titik sentuh yang yang menjadi asas untuk beliau menyelami permasalahan rakyat di kawasan itu.

“Saya merupakan seorang penjawat awam selama lebih 30 tahun. Pengalaman saya ini akan saya terjemahkan dalam membantu mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.Kempen saya InsyAllah tidak akan menumpukan kepada serangan kepada rakan calon dari parti lawan.

“Saya sudah menggerakkan kerja membantu rakyat sejak sebelum saya dinamakan sebagai calon, dan saya akan teruskan gerak kerja yang sama,” katanya ketika ditemui pada program perjumpaan bersama peniaga pasar malam, di sini, hari ini.

Calon Pakatan Harapan, Zabidi Yahya

Calon Pakatan Harapan (PH), Zabidi Yahya membawa pendekatan sama iaitu mengadakan pertemuan bersama rakyat bagi memahami denyut nadi masalah setempat.

“Kita tak mahu anak Langkawi itu terpinggir. Pembangunan perlu dilakukan seiring dengan keperluan meningkatkan taraf hidup penduduk di pulau ini.

“Saya pernah menjadi Ahli Majlis dan kita tahu masalah. Begitu juga keadaan di bandar seperti masalah anjing liar, masalah sampah dan sebagainya. Kita atasi semua ini dengan mencari jalan yang terbaik untuk rakyat dan pelancong,” katanya.

Calon Perikatan Nasional, Datuk Suhaimi Abdullah

Bagi calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaimi Abdullah, beliau akan menumpukan usaha bertemu semua pengundi dan menyampaikan agenda pembangunan yang dirancang di Langkawi.

“Di Langkawi ini kita faham ianya berteraskan kepada sektor pelancongan. Saya melihat dalam manifesto nanti kita akan masukkan elemen pelancongan dan selaku Pengerusi Bersama Jemaah Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi dan sebaiknya pentadbiran di Langkawi,” katanya.

Parlimen Langkawi menampilkan persaingan 5 penjuru melibatkan calon Calon Bebas, Datuk Abd Kadir Sainudin, Pejuang-Tun Dr Mahathir Mohamad, BN-Datuk Armishah, PN-Datuk Suhaimi dan PH-Zabidi.

Untuk rekod, Parlimen Langkawi mempunyai 65, 647 orang pengundi pada PRU-15.

Calon Barisan Nasional, Datuk Arminshah Siraj ditemui ketika program perjumpaan bersama peniaga pasar malam.
Loading...
Terkini