comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Semua ‘dinosaur’ politik perlu direhatkan – Mufti Perlis

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

PADANG BESAR: Pemimpin lama dari mana-mana parti politik perlu ‘direhatkan’ dan laluan itu sepatutnya diberikan kepada calon muda untuk membawa idea yang lebih segar.

Bercakap kepada Buletin TV3, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat, bebanan silam yang dibawa pemimpin lama telah menyekat negara untuk melangkah ke hadapan.

Beliau turut merujuk pemimpin lama sebagai ‘dinasour’ dalam pentas politik negara.

“Selagi dinasor masih menguasai keadaan (politik), kita tidak dapat melangkah banyak ke hadapan.

“Ramai yang saya rasa sudah cukup lama dalam politik, dia membawa perselisihan silam atau juga masalah lepas untuk terus bertarung sesama mereka (pemimpin lama), sehingga generasi baru tidak dapat melihat naratif baru, pemikiran baru dan idealism baru,” katanya ketika ditemui di kediaman di Bukit Keteri, Padang Besar.

Dalam soal berkempen, calon seharusnya membawa perubahan dengan menceritakan keupayaan dan tawaran untuk rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) nanti.

“Kena kempen yang menceritakan tujuan, keupayaan dan tawaran bukan keburukan lawan semata-mata.

“Cerita buruk lawan itu style lama, tak perlu begitu. Kita kena jadi macam syarikat-syarikat, dia cerita pasal produk dia, apa kebaikannya. Jadi calon perlu fokus sepenuhnya kepada keupayaan dan rancangan mereka.”

Loading...
Terkini