comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Shahidan pencetus gelombang kemenangan PN di Perlis

Shahidan dan isteri, Datuk Seri Shamsiah Yasin selepas diumumkan menang di kerusi Parlimen Arau malam tadi. – Foto: NSTP/Luqman Hakim Zubir

KANGAR: Penyertaan tokoh politik Datuk Seri Shahidan Kassim pada saat-saat akhir untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dilihat sebagai titik tolak kebangkitan gelombang gabungan itu sehingga berjaya mengambil alih negeri ini daripada cengkaman Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan PN berjaya membentuk kerajaan negeri setelah memperoleh majoriti undi melebihi 50 peratus.

Aura Shahidan tidak dapat dinafikan apabila ‘panglima perang’ PN Perlis itu berjaya membawa kemenangan luar biasa kepada PN sehingga mampu menyapu bersih tiga kerusi Parlimen selain 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jauh daripada sasaran awal untuk menawan sembilan kerusi DUN bagi mendapatkan majoriti mudah.

Shahidan adalah penyandang kerusi Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum pada 1986, 1990, 2013 dan 2018, selain pernah menggalas kedudukan sebagai Menteri Besar bagi tempoh 1995 hingga 2008.

Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli berkata Shahidan berjaya menjalankan tugasnya sebagai ‘panglima perang’ PN Perlis dengan membawa perjuangan perpaduan ummah bermula di Arau dan menular ke seluruh negeri kecil di utara tanah air itu.

“Saya berharap idea perpaduan ummah ini dapat dikembangkan bersama dalam gabungan PN ke seluruh negara dan menjadi ikutan negeri-negeri lain bagi membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan stabil,” kata Pesuruhjaya PAS Perlis itu kepada pemberita selepas kemenangan PN malam tadi.

Pengerusi BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah, pula berkata Shahidan turut membantu jentera PN meraih kemenangan dalam PRU15.

“Menerusi bantuannya, jentera PN yang disertai oleh gabungan BERSATU dan PAS menjadi lebih kukuh,” katanya.

Tugas sebagai ‘panglima perang’ bukanlah sesuatu yang asing bagi Shahidan yang pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO selain menjadi individu yang bertanggungjawab menyusun ‘buah catur’ dalam membina kubu BN pada PRU14.

Ketika BN mengalami tsunami politik pada PRU14, Shahidan berjaya membantu mempertahankan Perlis sebagai kubu kuat BN apabila memenangi 10 kerusi DUN dan membentuk kerajaan negeri selepas mendapat majoriti dua pertiga daripada 15 kerusi DUN.

Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis pada April tahun lepas, juga memberi kesan.

Pucuk pimpinan parti membuat keputusan drastik dengan tidak menyenaraikan dua tokoh politik utama Perlis iaitu Shahidan dan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Besar sebagai calon BN.

Langkah BN meletakkan muka baharu dan ‘calon luar’ iaitu Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan dan Datuk Rozabil Rahman di kerusi panas, menyaksikan Shahidan dan Zahidi masing-masing beralih sebagai calon PN dan Bebas.

Hasrat rakyat Perlis yang mahukan kerajaan baharu, dizahirkan apabila PN menyapu bersih kesemua tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau selain menang di 14 daripada 15 kerusi DUN.

Undian golongan muda dikatakan turut menjadi penentu kejayaan PN di Perlis, mengambil alih tampuk pemerintahan BN yang mendominasi sejak 65 tahun lalu.

Percaturan PN menawan semua tiga kerusi Parlimen menjadi kenyataan apabila gandingan Perpaduan Ummah menerusi calon PN-PAS Datuk Rushdan Ramli (Padang Besar), PN-BERSATU Zakri Hassan (Kangar) dan Shahidan (Arau) mencipta kemenangan besar.

Di peringkat DUN, calon PN dari PAS menawan 10 kerusi menerusi Haziq Asyraf Dun (Beseri), Saad Seman (Chuping), Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer), Muhammad Azim Azizan (Santan), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Asrul Aimran Abdul Jalil (Kayang), Wan Zikri Afthar (Tambun Tulang), Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Razali Saad (Simpang Empat) dan Mohd Shukri Ramli (Sanglang).

Calon PN daripada BERSATU menyumbang empat kerusi DUN iaitu Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Datin Marzita Mansor (Sena), Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis) dan Megat Hashirat Hassan (Pauh).

Hanya satu kerusi DUN dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi Gan Ay Lin yang mewakili PKR yang mengekalkan kemenangan di DUN Indera Kayangan.

BN meletakkan muka baharu seperti Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Saiful Daniel Mohd Yusof bagi kerusi DUN Sena, Ketua Pemuda MCA Padang Besar Lim Weng Khee (Indera Kayangan), Ahli Jawatankuasa UMNO Kangar Kamarudin Malek (Kuala Perlis), Ketua Pemuda Umno Arau Syed Atif Syed Abu Bakar (Pauh) dan Ahli Jawatankuasa UMNO Arau Sharifudin Ahmad (Sanglang).

Kejutan berlaku di DUN Bintong apabila Azlan tewas kepada calon PN-PAS Fakhrul dengan majoriti 4,329 undi dalam persaingan enam penjuru.

Nasib sama turut menimpa sembilan Ahli DUN BN iaitu Teh Chai Aan (Titi Tinggi), Ruzaini Rais (Beseri), Asmaiza Ahmad (Chuping), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer), Azizan Sulaiman (Santan), Hamizan Hassan (Kayang), Rozieana Ahmad (Guar Sanji) dan Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat) dan Datuk Ismail Kassim (Tambung Tulang). – BERNAMA

Loading...
Terkini