comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Shahidan sah calon PN di Parlimen Arau

Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan perkara itu di Kangar.

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Arau pada PRU-15.

Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika mengumumkan perkara itu berkata, semua calon PN sedia menawarkan diri untuk membuat perubahan di Negeri Perlis dan dalam negara.

“19 hari bulan (November) adalah penentu kepada Perlis Baharu. Kita perlu buat perubahan di Perlis ini dan saya mengajak seluruh rakyat Perlis dan negara untuk sama-sama buat perubahan.

“Perubahan yang wajib diadakan memandangkan negara kita semakin menuju ke arah negara korupsi, yang mana ekonomi negara yang kaya raya telah disonglap dengan sebegitu rupa sehingga menyebabkan rakyat yang sepatutnya hidup dalam senang lenang menjadi menderita.

“Bye BN / UMNO, akan istiqomah bersama PN”, – Shahidan Kassim berkata demikian ketika berucap selepas diumumkan sebagai Calon PN Kerusi Parlimen Arau.

“Tidak sepatutnya ada lagi rakyat dalam negara kita hidup dalam keadaan yang susah dan miskin,” katanya dalam pengumuman calon Perikatan Nasional di Kompleks PAS Negeri di Kangar.

Shahidan tidak kelihatan semasa pengumuman calon PN Perlis dibuat dan difahamkan beliau dalam perjalanan untuk mendapatkan ‘restu’ daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Terengganu.

Penyandang kerusi Parlimen Arau selama empat penggal itu membuat keputusan untuk bertanding di kerusi tersebut atas tiket PN selepas kecewa beliau tidak dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

Sebelum ini, Mohd Shukri yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Perlis telah menyatakan kesediaan untuk memberi laluan kepada Shahidan untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau, sementara calon Pas pula akan dipindahkan ke kerusi Parlimen Padang Besar.

Pada PRU-14 lalu, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin telah dinamakan sebagai calon di kerusi Parlimen Arau dalam pertandingan tiga penjuru.

Hashim juga telah mengesahkan untuk tidak bertanding pada PRU-15 dan memberi laluan kepada calon baru.

Loading...
Terkini