comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: ‘Sivarasa tak dicalonkan atas faktor kesihatan’ – Anwar

Penyandang Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pengguguran nama penyandang Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dibuat atas faktor kesihatan.

Beliau berkata, pertimbangan itu diambil kira sungguhpun ada pihak yang mahukan Sivarasa meneruskan khidmatnya di sana.

“Sivarasa itu peguam saya dan kawan baik saya dan telah berkhidmat tiga penggal dan keadaan kesihatan… kita tengok juga ada isu. Jadi apabila dia pergi (berkempen) dilihat dengan keuzuran beliau, itu akan mengesankan.

“Jadi, saya sudah beri pertimbangan masalah itu dan kita boleh tonjolkan tokoh yang boleh mengalahkan Khairy Jamaluddin (calon Barisan Nasional),” katanya seperti dipetik sebuah portal berita.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, PH menampilkan Timbalan Ketua Penerangan PKR, R Ramanan di kerusi berkenaan.

Terdahulu, BH melaporkan memetik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengakui beliau dan jawatankuasa calon mencadangkan Sivarasa untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh, namun memaklumkan Anwar mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Sungai Buloh adalah kerusi campuran yang disandang Sivarasa dari PKR sejak 2008.

Pada PRU14 dalam persaingan di P 107 Sungai Buloh, Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), 642 undi.

Secara tradisi kerusi Sungai Buloh ditandingi oleh MIC namun parti itu kalah kepada PKR tiga penggal berturut-turut.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi pada PRU14 adalah sebanyak 82.32 peratus yang mewakili seramai 12,229,514 orang daripada 14,940,624 pengundi berdaftar. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini