comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: SOP SPR Masih Dibincang, Akan Diputuskan Dalam Waktu Terdekat – Khairy

Khairy Jamaluddin bersama pengerusi Commonwealth and 4th Global Wound Conference 2022, Prof Dr Harikrishna K R Nair di Sunway Pyramid Convention Centre.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi maklum balas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya diadakan dalam keadaan ‘Covid-19 safe election’ dalam minggu ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

“SPR sudah minta maklum balas daripada KKM. Ada beberapa perkara (SOP) yang SPR boleh buat, ada yang mungkin mereka susah nak buat.

“Jadi, kita akan bagi maklum balas dalam sehari dua ini (kepada SPR),” katanya selepas merasmikan Persidangan Luka Global Keempat 2022 dan Komanwel di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, hari ini.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini membabitkan 90 penceramah dari seluruh dunia dianjurkan Persatuan Penjagaan Luka Profesional Malaysia (MSWCP) dan Commonwealth Wound Care Resource Alliance (CWCRA).

KKM dilaporkan sudah mengesyorkan kepada SPR berhubung beberapa SOP bagi PRU-15 supaya ia diadakan dalam keadaan ‘Covid-19 safe election’.

Khairy dipetik berkata, dengan situasi Covid-19 negara yang terkawal, KKM berpandangan beberapa sekatan yang dilakukan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini boleh dilonggarkan termasuk pemakaian pelitup muka dan hak mengundi bagi individu positif Covid-19.

Sementara itu, KKM ujar beliau, akan memberi lebih tumpuan kepada perkhidmatan kesihatan di peringkat komuniti bagi memudahkan pesakit terutama yang terlantar mendapatkan rawatan penjagaan luka di rumah.

“Untuk lima tahun akan datang, lebih banyak tumpuan kepada perkhidmatan kesihatan di peringkat komuniti dari rumah supaya (pesakit) tidak perlu ke hospital atau klinik,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, MSWCP dengan kerjasama Yayasan Hasanah menyediakan perkhidmatan merawat luka kepada golongan B40 dan mereka yang berpendapatan rendah secara percuma.

“Tahun lalu, sebanyak 1,800 pesakit menerima rawatan, manakala tahun ini sebanyak 3,350 sudah menerima rawatan iaitu hampir dua kali ganda jumlah berbanding tahun lalu,” katanya.

Loading...
Terkini