comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : Suami, ibu akan bantu kempen meskipun berlainan parti

Musalmah Musa (kiri) akan membantu anaknya Noraisah Hasan (kanan) berkempen. – FOTO/ NSTP

DUNGUN: “Biarpun saya, suami dan ibu berlainan parti, namun mereka berdua akan membantu berkempen untuk saya,” kata calon parti PEJUANG, Noraisah Hasan.

Noraisah, 32, yang akan bertanding di Parlimen Dungun berkata, biarpun pertama kali bertanding, beliau tidak berasa takut berdepan saingan 4 penjuru di Parlimen Dungun.

“Saya menghormati penyandang Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hasan Mohd Ramli (PAS), Ustaz Nurhisham Johari (BN) dan doktor pakar mata, Datuk Dr Mohd Johari Mohamad (PKR).

“Kesemua mereka berpengalaman dalam parti masing-masing berbanding saya yang baru dalam PEJUANG namun saya hormati mereka seperti ayah dan abang saya,” katanya.

Noraisah yang merupakan seorang usahawan dan anak kelahiran kampung Seberang Pintasan Dungun berkata, sebelum ini beliau tidak pernah mengundi kerana menyokong semua parti yang bertanding.

“Keluarga saya berpindah ke Kuala Lumpur sejak saya berusia 16 tahun kerana bapa seorang anggota polis bertukar ke sana.

“Selepas bapa meninggal dunia, ibu, Musalmah Musa, 58, pulang semula ke Dungun dan saya terus menetap di Gombak dan mempunyai perniagaan saya di Tanjung Malim,” katanya.

Katanya, setiap minggu dia akan pulang ke Dungun untuk membantu perniagaan kedai makan ibunya dan rezeki hasil perniagaannya banyak digunakan membantu penduduk miskin di kampung kelahirannya itu.

“Terus terang saya katakan masih ramai penduduk di Dungun yang susah dan ramai golongan belia yang tidak bekerja kerana tiada peluang pekerjaan.

“Oleh itu saya merasa terpanggil untuk bertanding dan menghantar permohonan menjadi calon sebelum saya diminta Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali untuk berjumpa dan menyokong untuk saya bertanding di Parlimen Dungun,” katanya.

Katanya, beliau mendaftar dengan parti PEJUANG 10 hari lalu dan selepas berbincang dengan suami dan ibu, mereka membenarkan beliau bertanding.

“Saya tahu, parti saya di Dungun tidak popular namun ramai dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat handai telah bersetuju untuk membantu saya berkempen.

“Saya tahu saya tak berpeluang untuk menang namun saya serahkan kepada takdir,” katanya.

Pada PRU-14, kerusi parlimen Dungun dimenangi calon PAS, Wan Hasan Mohd Ramli yang memperolehi 40,850 menewaskan calon BN, Datuk Din Adam yang memperolehi 27,731 undi manakala calon PKR, Abd Rahman Yusof memperoleh 6,833 undi.

Loading...
Terkini