comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: ‘Tak akan rayu, minta atau lobi jika tak dicalon’ -Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media di Kota Bharu.

KOTA BHARU: Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan meminta, merayu mahupun melobi sekiranya namanya tidak dicalonkan di Parlimen berkenaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Annuar berkata, beliau berpegang kepada prinsip seseorang calon tidak boleh meminta-minta.

“Kalau parti pilih saya untuk tugas tanggungjawab, saya akan terima. Namun saya minta tidak usahlah kita membuat spekulasi kerana proses masih berjalan.

“Kita serah kepada parti untuk menentukannya dan siapa yang akan menerima watikah malam ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Kenyataan beliau dilihat ada kaitan dengan sebaran di media sosial berhubung 10 nama dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan tidak dicalonkan semula bertanding PRU kali ini.

Annuar mengakui banyak berbeza pendapat membabitkan beberapa isu dengan pucuk pimpinan parti.

Katanya, walaupun banyak `bergesel’, beliau tiada niat lain melainkan demi masa depan UMNO.

“Saya akui saya memang begitu. Kita tidak boleh menjadi burung kakak tua sehinggakan orang tidak tahu pemikiran kita yang sebenar.

“Saya memang pro Muafakat Nasional (MN) yang kuat kerana saya yang tukang baca deklarasi MN dan saya tahu segala-galanya, namun buat masa ini saya `kunci mulut’ dahulu.

“Sejak UMNO jatuh, proses pemulihan melalui pelbagai cara dan pendapat. Nasihat saya kalau mahu UMNO kuat, perlu menyatupadukan orang Melayu dan parti Melayu supaya selepas PRU-15, kita tidak akan menumpang atau meminta-minta. Ini juga berlaku perbezaan pendapat.

“Begitu juga perbezaan tiga pendapat yang besar di antara saya dengan pucuk pimpinan termasuk pucuk pimpinan menandatangani surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa pengetahuannya dan isu tarik sokongan terhadap kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Sebelum ini khabar angin mendakwa Menteri Wilayah yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Adham Baba dan Annuar sebagai antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh UMNO dalam PRU-15.

Shahidan dalam kenyataan di Facebook berkata, bilik gerakan BN bagi Parlimen Arau telah ditutup sejak malam tadi dan bendera parti turut diturunkan.

Penutupan bilik gerakan berkenaan dilihat sebagai protes terhadap penolakan pencalonan Shahidan yang sudah menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan selama empat penggal bermula 1986, 1990, 2013 dan 2018.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO dalam kenyataan di Facebook malam tadi berkata, pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRU-15, didakwa tidak mengikut kaedah ditetapkan Perlembagaan parti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, dakwaan yang berlegar membabitkan spekulasi calon BN biarpun parti lawan sudah mengumumkan senarai calon mereka yang dikatakan sarat dengan personaliti ‘big and heavyweight’.

“Bakal calon (BN) sudah dibawa menandatangani dokumen dan aku janji tertentu sejak dua hari lalu, …justeru, ‘rumours’ (khabar angin) mula tersebar.

“Walaupun Perlembagaan menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu mendakwa, biarpun Top 5 (lima pemimpin tertinggi UMNO) diberi kuasa berunding bagi pihak Majlis Kerja Tertinggi (MKT), senarai calon ditapis lagi oleh ‘pihak tinggi’.

Malah, beliau berkata, kedengaran banyak khabar angin mendakwa ramai ‘winners’ yang boleh menang ‘dipancung’ atau tidak disenaraikan, terutama yang rapat dengan Perdana Menteri, walaupun dijanjikan bahawa bakal calon dipilih adalah dalam kategori WALI, iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi).

“Tapi itu ‘rumours’ (yang tidak semestinya tidak berasas).

“Apapun, kita berilah ruang secukupnya kepada pucuk pimpinan untuk berunding dan memilih. Menjadi calon tidak boleh diminta-minta.

Tak perlulah melobi-lobi. Ia satu amanah, tanggungjawab untuk memenangkan cukup kerusi bagi parti. Jika tidak, berkubur dua kali.

“Kurangkan spekulasi. Tunggu saja pengumuman rasmi sehari dua saja lagi,” tulisnya.

Loading...
Terkini