comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: ‘Tak semua pemimpin lama kena dikekalkan’ – Anwar jawab Tian Chua

BANGI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tidak semua perjuangan dalam politik perlu melalui jalur pilihan raya.

Sebaliknya, beliau menegaskan, sumbangan tokoh lama dalam parti amat diperlukan untuk membimbing generasi muda.

Mengulas pengguguran beberapa pemimpin lama PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Anwar berkata, tidak semua pemimpin lama boleh dikekalkan kerana perlu memberi laluan kepada generasi baharu memimpin.

“Jika kita kekalkan semua orang yang memberi sumbangan, generasi baharu tidak akan bangkit. Ada ketikanya digugurkan atas faktor kesihatan dan sudah lama berkhidmat.

“Kita sedar, orang yang berkhidmat dengan baik sekian lama, ada ketikanya harus dipindahkan atau diganti.

“Mereka ini sahabat saya tapi kalau kita kekalkan, generasi baharu ini tidak ada tempat. Ketua Wanita, Rodziah Ismail dan Ketua Angkatan Muda, Adam Adli, mereka ini kena tunggu 20 tahun lagilah (untuk bertanding),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Nasional Ke-16 Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (WADAH), Seminar Penghargaan Allamah Dr Yusof Al Qaradhawi dan Perjuangan Nahdah Umat: Aspirasi Membina Masa Depan Malaysia di sini, hari ini.

Anwar diminta mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, yang memberi amaran langkah parti itu menggugurkan beberapa Ahli Parlimen menjelang PRU-15 boleh menjejaskan parti.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu mendakwa, ramai yang kecewa dengan keputusan pimpinan parti di beberapa kerusi selepas pengumuman 72 calon PKR di Semenanjung – BULETIN TV3.

Loading...
Terkini