comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Tiada kerusi menang tanpa bertanding

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.66 Bugaya, Sabah.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini petang tadi.

Beliau berkata, sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi DUN iaitu kerusi bagi Pahang, Perlis dan Perak serta satu kerusi Bugaya telah dipertandingkan.

“Enam kertas pencalonan telah ditolak iaitu empat kertas Parlimen dan dua kertas DUN. Parlimen P.115 Batu (di Kuala Lumpur) mencatatkan jumlah pertandingan tertinggi melibatkan 10 penjuru.

“Manakala bagi pertandingan di DUN memperlihatkan pertandingan paling tinggi di N.47 Chenderiang, Perak iaitu tujuh penjuru,” katanya.

Tan Sri Abdul Ghani berkata, PRK DUN Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Menurutnya, dengan selesainya urusan penamaan calon jam 10 pagi tadi, tempoh kempen bermula selepas pengisytiharaan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Kempen berakhir sehingga jam 11.59 malam, 18 November ini.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) kempen pilihan raya, Tan Sri Abdul Ghani berkata, ia akan dimaklumkan kemudian menerusi kenyataan media.

“Tiada (hari ini), dimaklum kemudian,” katanya.

Beliau berkata, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar dalam urusan penamaan calon.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat-Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Penerangan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya.-BULETIN TV3

Loading...
Terkini