comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Tiada laluan mudah untuk PAS di Terengganu

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

KUALA TERENGGANU: PAS tidak memandang rendah calon-calon dari semua parti yang bertanding di Terengganu dan telah menggerakkan jenteranya untuk bekerja keras sehingga hari pengundian nanti.

Menurut Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim beliau sedar tiada laluan mudah untuk parti itu menang kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Lapan calon kami (PN) termasuk daripada BERSATU dan semua jentera pilihan raya parti diminta tidak memandang rendah lawan. Walaupun PN mempertaruhkan calon berpengalaman, bertenaga dan bersih, kemampuan calon lawan tidak boleh dipandang remeh.

“Seluruh jentera parti diminta terus berusaha hingga ke hari pengundian untuk memastikan kemenangan calon PN,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pusat Media PN, di sini, hari ini.

Pada PRU-14, PAS memenangi enam kerusi Parlimen di negeri ini, iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu, manakala Parlimen Besut dan Hulu Terengganu dimenangi BN.

Bagaimanapun, kerusi Parlimen Hulu Terengganu menjadi milik PN selepas penyandangnya, Datuk Rosol Wahid meninggalkan UMNO untuk menyertai BERSATU pada Disember 2018.

Mengenai pengundi luar, Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Tepuh, berkata kerajaan negeri menyediakan 200 bas percuma membawa pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab pada PRU-15.

Katanya, setakat ini kira-kira 9,000 pengundi luar, termasuk mahasiswa yang sedang belajar di beberapa universiti awam (UA), terutama di Lembah Klang sudah mendaftar untuk pulang mengundi.

“Kita tidak mengenakan syarat kepada pengundi luar atau minta mereka undi calon PN, sebaliknya kemudahan itu disediakan bagi meringankan beban selain menyelesaikan masalah mereka untuk pulang menunaikan tanggungjawab susulan kekurangan pengangkutan awam.

“Setakat ini kita sudah menempah 200 bas, manakala jadual perjalanan akan ditetapkan kerajaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini