comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Tuan Ibrahim fail saman fitnah terhadap Rafizi

Foto: NSTP

PETALING JAYA: Tuan Ibrahim Tuan Man memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli selepas Timbalan Presiden PKR itu gagal membuat permohonan maaf  dalam masa 7 hari berhubung dakwaan kelulusan projek bernilai RM2 bilion selepas Parlimen dibubarkan.

Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan berkenaan saman fitnah oleh Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air itu dibuat menerusi Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada jam 4 petang semalam.

“Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan setebal 73 muka surat dan pihak Mahkamah telah menerima writ saman tersebut,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan.

Sebelum ini Rafizi dalam sidang media menuntut penjelasan daripada Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Rafizi mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender terbabit secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

Beliau menegaskan, tidak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan dan tiada mana-mana pihak yang datang berjumpanya bagi meminta kelulusan RM2 bilion itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata dakwaan Rafizi merupakan tuduhan jahat, penyelewengan fakta dan penipuan yang jelas bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibilitinya menjelang hari pengundian esok.

“Saya berharap mereka yang telah difitnah Rafizi turut akan mengikut jejak saya,” katanya.

Tuan Ibrahim berharap Rafizi berani berhadapan dengan proses mahkamah mengikut lunas perundangan dan bukannya “hanya berkokok melaungkan fitnah di media-media sosial dan pentas ceramah”.

Loading...
Terkini