comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Tular program palsu kaitkan dirinya, Armishah lapor polis

FOTO: NSTP

LANGKAWI: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Armishah Siraj akan membuat laporan polis berhubung poster acara palsu membabitkan dirinya yang tular di laman sosial Facebook sejak petang semalam.

Katanya, poster Program Isi Minyak Percuma Bersama Dato’ Haji Armishah Siraj Calon Ahli Parlimen Langkawi itu dimuat naik pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menimbulkan persepsi buruk bahawa beliau seorang penipu.

“Poster itu menampilkan gambar saya dan hebahan kononnya saya menganjurkan program isi minyak percuma, namun acara itu tidak ada dalam jadual aktiviti saya hari ini.

FOTO: NSTP

“Insya-Allah wakil saya akan membuat laporan polis hari ini, malah saya sendiri telah memaklumkan (perkara itu) secara lisan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra dengan 150 pemandu teksi di Kuah di sini, hari ini.

Armishah berkata, bagi mengelak perkara sama berulang orang ramai diminta merujuk Facebook rasminya dan jangan cepat mempercayai poster dimuat naik oleh pihak lain.

“Saya sifatkan perbuatan itu (poster palsu) satu permainan politik tidak sihat kerana saya dari awal lagi cuba mengelak kempen memburukkan calon yang bertanding.

“Setakat ini saya banyak tonjolkan apa perkhidmatan yang sudah buat dan akan buat pada masa hadapan, tidak sama sekali menyerang peribadi calon lain,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Armishah bersaing dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dari Perikatan Nasional (PN); Zabidi Yahya dari Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas, Datuk Paduka Abdul Kadir Sainudin. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini