comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Tun M sudah ‘out’ – Anwar

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

TANGKAK: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyertaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan partinya tidak relevan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau mendakwa keberadaan Dr Mahathir dan partinya itu hanyalah sekadar untuk memecah belah undi.

“Yang pemimpin lain itu, Dr Mahathir jangan kacaulah, sudah-sudahlah, jangan kacau dia lagi, jangan cerita lagi.

“Dia dah out, dia buat pecah undi sahaja, jadi jangan bagi pecah undi. Saya mahu orang Melayu Ledang, Orang Cina Ledang, orang India Ledang, kalau ada orang Asli semua, pakat kita beri undi untuk menangkan Pakatan Harapan,” katanya berucap ketika mengadakan tinjauan mesra di Pusat Jaja Taman Tangkak Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, penyandang yang juga calon Perikatan Harapan (PH) Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Anwar yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Tambun menepis dakwaan kononnya beliau akan berpakat dan berunding dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak benar dan fitnah.

“Tak payah kacau Mahathir lagi, saya tak mahu kacau dia tapi dia kacau kita, dia kata tak boleh sokong PH, sebab PH mahu pakat, Anwar mahu pakat sama Ahmad Zahid, apa cakap macam ini, dia susah hati, takut kita menang.

“Saya sendiri akan pergi ke Bagan Datuk, saya mahu serang tempat Ahmad Zahid, untuk kita menang di sana, dia tak tahu apa perancangan kita, perancangan kita adalah untuk dapat sekurang-kurangnya 112 (kerusi) untuk PH jadi kerajaan.

“Apa runding-runding, kita mahu menang sebab rakyat,” katanya

Pada PRU-15, parti PEJUANG pimpinan Dr Mahathir bertanding di 161 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Loading...
Terkini