comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: UMNO Langkawi terima calon pilihan parti

 

Datuk Arminshah Siraj

Oleh: Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: UMNO bahagian Langkawi tidak lagi mempunyai sebarang pertelingkahan mengenai pemilihan calon bagi kerusi parlimen itu, selepas kepimpinannya bersetuju menerima calon pilihan Barisan Nasional (BN).

Disambut meriah di Kuah, Datuk Arminshah Siraj memaklumkan pertelingkahan mengenai pemilihannya sebagai calon sudah dileraikan.

“Siang tadi, satu pertemuan telah diadakan kepimpinan UMNO bahagian Langkawi bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Alhamdulillah, apa yang kita anggap segalanya selesai.”

“Insyallah saya akan bertemu dengan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Nawawi Ahmad bagi membincangkan soal pergerakan jentera UMNO-BN.”

Menjelaskan kekeruhan selepas pengumuman beliau sebagai calon sebagai reaksi biasa, Datuk Arminshah yakin sokongan yang dizahirkan kepimpinan pelbagai peringkat UMNO-BN mampu mengembalikan kerusi parlimen Langkawi ke pangkuan parti itu.

“Ada yang mengatakan bahawa ianya kerusi selamat bagi Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya berhadapan laluan sukar. Saya tidak nafikan, tetapi kerusi ini hakikatnya adalah kubu kuat BN sebelum ini.”

“Usaha saya dan jentera adalah bagi menyakinkan semula pengundi untuk mengembalikan semula kerusi ini untuk diwakili UMNO-BN.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Konvoi BN sambutan calon Parlimen Langkawi di sini.

Turut hadir pada program itu adalah Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri UMNO Langkawi serta kepimpinan UMNO dan BN Langkawi.

UMNO Bahagian Langkawi sebelum ini menolak calon ‘payung terjun’ pada PRU-15 selepas timbul spekulasi Datuk Armishah yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah disenaraikan sebagai antara muka baharu yang akan bertanding sebagai calon Parlimen di Kedah.

Loading...
Terkini