comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Undi anak muda faktor Ku Nan ‘tersungkur’ di Putrajaya

TENGKU Adnan ketika meninjau proses pengundian awal, baru-baru ini. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Undi18 atau undi anak muda menjadi antara faktor menyebabkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tewas di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Rekod cemerlang ‘Ketua Kampung’ Putrajaya yang juga penyandang empat penggal sejak 2004 itu, akhirnya dileburkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 2,310 undi.

Keputusan PRU-15 Parlimen P125 Putrajaya menyaksikan Radzi yang pertama kali bertanding di sini memperoleh 16,002 undi manakala Tengku Adnan atau Ku Nan mendapat 13,692 undi.

Empat lagi calon kerusi itu iaitu Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dari Pakatan Harapan (PH) mendapat 5,988 undi, manakala tiga lagi calon hilang deposit iaitu Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) meraih 878 undi, calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi (63) dan Lim Fice Bee (20).

Tengku Adnan biarpun ketika berkempen begitu yakin undi anak muda tetap memihak kepadanya kerana beranggapan beliau sudah lama di Putrajaya dan menganggap golongan terbabit tidak lebih seperti anak atau cucunya sendiri.

Namun di pusat penjumlahan undi di Dewan Pusat Kejiranan Presint 9 semalam yang menjadi perbezaan antara beliau dan Radzi ternyata berlaku di saluran lima dan enam iaitu saluran anak muda.

Seramai 42,881 pengundi berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Putrajaya pada PRU-15, yang mana 53 peratus daripadanya adalah anak muda berusia 18 hingga 39 tahun yang mewakili 25,415 pengundi.

Berdasarkan data SPR peratusan keluar mengundi untuk PRU-15 di Parlimen ini semalam mencatat 86.21 peratus atau 36,643 jumlah undian pemilih.

Berdasarkan pemerhatian perjalanan kempen, mungkin merasakan terlalu selesa, Tengku Adnan juga dilihat kurang agresif untuk mendekati anak muda kali ini berbeza dengan pesaing rapatnya.

Kegagalan melihat apa yang anak muda mahu dan menekankan dengan bersungguh-sungguh tawaran untuk membantu golongan muda mendepani krisis ekonomi dan peningkatan kos hidup juga turut menyumbang kepada kekalahan Tengku Adnan.

Pengundi di Putrajaya juga tidak memerlukan pembangunan yang hebat-hebat kerana Pusat Pentadbiran kerajaan sudah sedia mencukupi, cuma perlu ditangani dan tambah baik beberapa isu terutamanya masalah tempat meletak kenderaan.

Berbanding Radzi yang pada mulanya dilihat tidak mampu menggugat kubu kuat Barisan Nasional itu berikutan kisah kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Parlimen Ketereh, sebelum berubah angin dan memilih Putrajaya.

Bekas Menteri Kanan Pendidikan dalam kerajaan terdahulu itu menggunakan keperluan jawatannya itu untuk tinggal di Putrajaya dan bijak melakukan kerja di lapangan lebih awal biarpun belum pasti mahu bertanding di Parlimen mana.

Penggunaan tagline ‘Era Baharu Putrajaya’ ternyata menarik perhatian pengundi muda untuk memilih Radzi atau lebih dikenali dengan singkatan nama DRJ sepanjang berkempen.

Radzi juga membuat pecutan awal kepada ‘gear lima’ sebaik kempen dimulakan dengan mendekati rapat komuniti Putrajaya termasuk pemimpin masjid dan surau, pemimpin persatuan penduduk, komuniti kebun, pemimpin sukan, sekali gus mengambil cakna cabaran dihadapi mereka.

Sikap beliau yang dilihat rajin bekerja, bersih dan menangani isu pendidikan dengan baik ketika pandemik ternyata menarik perhatian penduduk Putrajaya untuk memilihnya sebagai Ahli Parlimen mewakili mereka.

Radzi yang ditemui media selepas pengumuman keputusan, menyifatkan kemenangannya untuk semua warga Putrajaya dan jentera PN yang bekerja keras dalam PRU-15.

“Terima kasih kepada semua pengundi, ini kerja keras untuk pastikan misi yang dianggap mustahil berjaya… ia era baharu Putrajaya,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini