comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 untuk masa depan negara, bukan pemimpin – Ahmad Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah mengenai masa depan negara, bukan untuk mana-mana pemimpin.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pilihan raya umum juga diadakan untuk mengembalikan kerajaan yang berwibawa.

“Ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan kesepakatan kita sehati sejiwa memasang tekad mengundi BN. Pemimpin datang dan pergi, tetapi andalah penyokong BN yang akan menentukan kelangsungan parti ini.

“Ingatlah setiap undi anda beri kepada Pakatan Harapan (PH), anda memberi undi kepada DAP untuk kembali. Ingatlah setiap undi anda berikan untuk Perikatan Nasional (PN), sekadar membazirkan undi yang seharusnya untuk kemenangan BN,” katanya dalam satu warkah buat penyokong BN dikongsikan di Facebook beliau malam ini.

Presiden Umno itu berkata, setiap undi yang diberi kepada PN, hanya akan memanfaatkan PH dan DAP, malah peluang PH dan DAP kembali memerintah negara.

“Jika anda tidak mahu melihat kerajaan gagal kembali menguasai negara bersama kita tentukan kemenangan BN. Pastikan undi kita tidak berpecah dengan memahami BN sebagai sebuah gabungan yang wajib dimenangkan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, realitinya BN tertewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu bukanlah kerana lawan BN kuat selain undi penyokong mereka yang mengalahkan BN.

“Hakikat segelintir penyokong BN sendiri mengundi lawan pada 9 Mei 2018 juga antara sebab BN tertewas. Begitu juga hakikat sebilangan penyokong BN tidak keluar mengundi di saat BN amat memerlukan.

“Merekalah rakan-rakan kita yang turut terpedaya dengan propaganda musuh terhadap pimpinan BN ketika itu. Selepas menyedari tertipu, ia sudah terlambat kerana negara sudah pun dikuasai oleh sebuah kerajaan gagal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang terbentuk atas tipu daya dan tujuannya cumalah untuk ‘menamatkan’ BN serta pemimpinnya.

“Mengenakan pertuduhan politik ke atas pemimpin yang setia, manakala yang ‘melompat’ terlepas penganiayaan. Kerajaan gagal mengabaikan khidmat mengakibatkan kerosakan menghakis segenap kestabilan dan kemakmuran.

“Kerajaan tiada keberkatan itu namun tumbang dengan sendirinya angkara perebutan kuasa sesama mereka. Lalu tertubuh parti serpihan PN dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang tak sama tapi serupa,” katanya.
Hakikat kini kata beliau, lawan sedang mengusahakan untuk memperdaya penyokong BN sekali lagi, bertujuan memecah-belahkan kemuafakatan keluarga BN dengan membisikkan hasutan ke sanubari.

“Mengadu domba tentang pemimpin BN supaya sebilangan kita terpedaya dengan muslihat mereka kali kedua. Mereka juga tahu mereka sejak dulu tidak mampu untuk mengalahkan BN dengan kekuatan sendiri.

“Satu-satunya cara dengan memanipulasi serta melemahkan kekuatan BN. Kekuatan BN iaitu dokongan, kesetiaan dan keyakinan para jutaan penyokongnya di serata tanah air. Musuh BN mengerti jika pengundi BN tidak berpadu seperti PRU-14, maka mereka masih berpeluang menang,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini