comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: Wakili BN, misi Khairuddin pertahan Parlimen Kuala Nerus

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Pengumuman itu mengakhiri teka-teki berhubung calon di Parlimen tersebut setelah Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menamakan calon untuk Kuala Nerus dalam satu majlis pada Selasa lalu.

Sejak petang tadi, Khairuddin ditanya menerusi aplikasi Whatsapp bersabit perkara itu dan tidak mengesahkan perkara itu sebaliknya hanya membalas dengan ’emoji senyum’.

Berkali-kali ditanya, beliau hanya membalas mesej berkenaan dengan emoji itu.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mula memenangi Parlimen Kuala Nerus sejak PRU-13 yang lalu.

Pada PRU-14 pula, beliau berjaya mengekalkan kemenangan di Kuala Nerus setelah memperolehi 37,974 undi dengan majoriti 8,447 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang mendapat 29,527 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Abdullah Muhammad (4,604 undi).

Beliau bagaimanapun menggemparkan arena politik negara setelah mengumumkan berhenti menjadi ahli PAS pada Mac lalu.

Tindakan BN meletakkan Khairuddin sebagai Calon BN Parlimen Kuala Nerus dijangka bakal berlaku pergolakkan di kalangan penyokong BN.

Sebelum ini timbul desas-desus Pengerusi Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Nasional, Mohd Apli Yusoff dan mantan Menteri Besar Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, disebut-sebut bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus.

Siang tadi, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam satu sidang media telah memberi amaran keras kepada individu yang tidak tercalon supaya tidak sabotaj dan terus bekerja menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan BN di Terengganu.

BN Terengganu mengambil pendekatan akur dengan keputusan parti bersabit pemilihan calon yang bertanding di PRU-15 kali ini.

Loading...
Terkini