comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Warga PDRM kekal profesionalisme, kawal emosi – Acryl Sani

KUALA LUMPUR: Lebih 80,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam penugasan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diseru untuk mengekalkan tahap profesionalisme tinggi, serta mampu mengawal emosi dan berhemah apabila berhadapan sebarang bentuk provokasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata petugas PDRM juga diminta mengelak terbabit situasi yang boleh mengakibatkan ketegangan sehingga memberi kesan yang mampu mencalarkan kredibiliti pasukan.

“Sebagai agensi penguatkuasaan utama negara, PDRM kekal komited mempertahankan keselamatan negara dan ketenteraman awam dalam setiap situasi selari dalam kehendak Akta Polis 1967.

“Pasakkanlah niatdan tanamkanlah tekad yang kuat untuk menjalankan amanah ini dengan penuh integriti, ikhlas dan sabar,” katanya.

Acryl Sani berkata demikian dalam Ucapan Khas Ketua Polis Negara Untuk Semua Petugas PDRM sempena PRU-15 di laman rasmi Facebook PDRM malam ini.

“Semoga setiap pengorbanan yang kita curahkan, dengan penuh rasa kecintaan dan keikhlasan di jalan jihad ini, akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada-Nya jua,” katanya.

Beliau turut mendoakan semua petugas PDRM sentiasa dilindungi Allah serta dijauhkan daripada sebarang malapetaka.

“Saya melahirkan rasa bangga kepada semua warga polis yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran proses PRU15 yang sedang dihadapi ketika ini.

“Kepada semua warga PDRM yang bertugas di lapangan untuk memastikan kelancaran proses PRU-15, saya percaya dan yakin, kalian akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata komitmen penuh daripada mereka yang akan terbabit sebagai pasukan bantuan di bahagian kontinjen di setiap negeri akan meningkatkan keupayaan jentera PDRM dalam
memastikan keseluruhan proses PRU-15 berlangsung dalam situasi selamat dan tenteram.

“Saya berharap semua warga PDRM telah pun melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan (termasuk latihan-latihan yang telah dilaksanakan lebih awal), mengenai penugasan kelak.

“Oleh yang demikian, ini peluang untuk anda semua mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dan seterusnya belajar daripada pengalaman,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini