comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : Anak Bekas Wakil Rakyat Taruhan DAP

Tony Chiew, calon sandaran DAP untuk kerusi parlimen Bintulu

KUCHING: Anak dua bekas wakil rakyat menjadi taruhan DAP untuk mencabar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bulan depan.

Tony Chiew Chan Yew, 36, sekali lagi menjadi sandaran DAP apabila diumumkan bertanding di Parlimen Bintulu bagi merampas kerusi itu daripada Datuk Seri Tiong King Sin .

Penyertaan beliau pada PRU15 adalah penampilan ketiga anak kepada bekas Ahli Parlimen Bintulu dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kidurong, Chiew Ching Sing itu sebagai calon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau membuat penampilan pertama mencabar King Sing di Parlimen Bintulu.

King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) menang dengan majoriti 7,022 undi apabila meraih 27,076 undi manakala Tony Chiew meraih 20,054 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak Disember tahun lalu, Tony Chiew diletak DAP untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu.

Beliau yang memperoleh 4,069 undi tewas tipis 23 undi kepada calon GPS, Johnny Pang Leong Ming yang memperoleh 4,092 undi.

Bagi Parlimen Sarikei pula, DAP berusaha mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14 itu dengan mencalonkan muka baharu, Roderick Wong Siew Lead, 32.

Roderick Wong adalah anak bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Andrew Wong Bing Liu yang mengambil keputusan untuk berundur.

Pada PRU14, DAP memenangi Parlimen Sarikei apabila menewaskan Datuk Seri Huang Tiong Sii yang ketika itu bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Bing Liu menang dengan majoriti 2,570 undi apabila meraih 16,327 undi manakala Tiong Sii pula mendapat 13,757 undi.

DAP Sarawak meletakkan lapan calon pada PRU15 dengan senarai tiga calon diumumkan pada majlis berasingan di Sibu, manakala empat lagi diumumkan di Kuching – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini