comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Annuar serah pada rakyat tentukan perjalanan politiknya

Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media di Kota Bharu.

KOTA BHARU: Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyerahkan dirinya kepada rakyat dalam menentukan perjalanan seterusnya selain meninjau jentera akar umbi serta sentimen rakyat yang mengangkatnya.

Sebabnya kata beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), lebih 25,000 orang mengundinya sedangkan ahli UMNO Ketereh hanya 14,000.

Ini bererti lebih 11,000 undi datangnya dari kalangan bukan UMNO dan semuanya beliau cukup hargai.

“Ia memenuhi aspirasi saya yang mahu melihat ahli UMNO dan bukan ahli UMNO terutama kalangan ahli PAS supaya kekal bersatu padu dan menjunjung semangat Muafakat Nasional (MN) yang kita bersama perjuangkan.

“Untuk perjalanan seterusnya elok saya tinjau pendirian jentera akar umbi saya, serta sentimen rakyat yang mengangkat saya. Elok saya serahkan diri saya kepada rakyat dan biar rakyat tentukan perjalanan seterusnya.

“Pastinya jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut, tikaman tidak bertepis, fitnah tidak berjawab dan hutang tidak berbayar,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook.

Annuar berkata, beliau akan berfikir dengan akal panjang sebelum bertindak dengan jiwa tenang dan dada yang lapang.

“Kepada kawan-kawan yang bertubi tubi dan ramai sekali memberi kata semangat dalam perjuangan, saya ucapkan ribuan terima kasih dan mohon bertenang,” katanya.

Mengulas mengenai pengumuman calon Barisan Nasional (BN) malam tadi, Annuar berkata beliau sudah jelas selepas mendengar sendiri keputusan yang mereka buat dan umumkan.

“Sebelumnya agak samar kerana langsung tidak dirujuk, jauh sekali dari dirundingi seperti mana tertulis di dalam perlembagaan parti,” katanya.

Terdahulu, empat menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, digugurkan sebagai calon PRU15.

Mereka adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi). -BULETIN TV3

Loading...
Terkini