comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: ‘Jadual saya padat…’ – Anwar jawab mengapa lambat isytihar aset

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau telah membuat pengisytiharan harta sebagai syarat ditetapkan partinya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, kelewatan berbuat demikian adalah kerana jadualnya padat.

“Sudah, sudah, selesai sudah, cuma tempoh hari saya belum tanda tangan, saya belum pulang ke Kuala Lumpur. Selesai dah tiada masalah,” jawab calon PH bagi Parlimen Tambun itu ketika diminta mengulas status pengisytiharan hartanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Santai Petang di Bandar Baru Uda bersama calon PH, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang bertanding kerusi Parlimen Johor Bahru, di sini, hari ini.

Sebahagian besar daripada 72 calon PKR pada Isnin telah menyiarkan pengisytiharan aset mereka.

Sebelum ini, media melaporkan, penyataan pengisytiharan harta oleh Anwar Ibrahim masih belum dikemas kini sebagai calon yang bertanding pada PRU-15.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini menyatakan, pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU-15 berbuat demikian. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini